Noh Omar bersama Khairul Azam (kiri) mendatangani plat merasmikan pembukaan MG Coopmart  di Bandar Baru Bangi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Noh Omar bersama Khairul Azam (kiri) mendatangani plat merasmikan pembukaan MG Coopmart di Bandar Baru Bangi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mahaizura Abd Malik


Bangi: Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) menyasarkan membuka 300 cawangan pasar raya MG Coopmart di seluruh negara dalam tempoh lima tahun dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

Setiausaha Ko-Makmur, Khairul Azam Awang berkata, pihaknya komited mencapai sasaran itu berdasarkan kerjasama dan prestasi memberangsangkan cawangan sedia ada dalam cabang sektor pemborongan, peruncitan dan perniagaan emas.

Katanya, Ko-Makmur yang berpangkalan di Pahang, pada mulanya beroperasi di negeri sebelah Pantai Timur sebelum berkembang kepada 10 MG Coopmart termasuk dua di Lembah Klang dan lima cawangan lagi bakal dibuka dalam masa terdekat termasuk satu di Putrajaya, Mei ini.

"Ko-Makmur pada mulanya bergerak dengan sumber terhad, namun dengan bimbingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang, kami berkembang menjadi koperasi.

"Kini sudah ada wisma sendiri dan 10 MG Coopmart selain merancang membuka 300 cawangan lagi untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Kita akan gunakan kejayaan model kerjasama dengan Koperasi Pertubuhan Anak Yatim Al-Ihsan yang terbukti menunjukkan potensi apabila kedai pasar mini kita berjaya meraih jualan hampir RM2 juta dalam tempoh setahun.

"Dengan gunakan model sama kami akan perluaskan lagi kepada koperasi lain dan jika ada dana mencukupi daripada agensi dan modal koperasi sendiri yang berminat menyertai usahasama ini, kita yakin sasaran ini dapat dicapai," katanya pada Majlis Pelancaran Cawangan MG Coopmart ke-10 di Seksyen 8 dan Pusat Pengedaran Ko-Makmur di Seksyen 13 di sini, semalam.

Hadir merasmikan pelancaran itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan turut hadir Penasihat Ko-Makmur, Datuk Izahar Ibrahim.

Beliau berkata, pihaknya turut membangunkan sistem yang menghubungkan MG Coopmart dengan pusat pengedaran bagi menganalisis corak peruncitan dan menilai tingkah laku pengguna.

"Ini membolehkan kita mengetahui apa dan berapa yang pengguna beli sebelum sistem itu akan menentukan sebanyak mana bekalan dikeluarkan daripada pusat edaran kepada kedai-kedai," katanya.

Katanya, sehingga kini, Ko-Makmur yang digerakkan sepenuhnya rakyat Malaysia juga sudah menawarkan peluang pekerjaan kepada 400 anak tempatan serta mempunyai 6,000 anggota dari seluruh negara.

Sementara itu, pada majlis sama, Ko-Makmur turut mengagihkan 500 bakul makanan kepada masyarakat memerlukan.

Difahamkan, Ko-Makmur yang kerap turun padang menyampaikan bantuan kepada masyarakat termasuk mereka yang ditimpa musibah dan bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh dan pesakit kronik, bakal menubuhkan Yayasan Ko-Makmur bagi memperluaskan usaha menyantuni golongan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 12:22 PM