GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: SIRIM Berhad dan Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) menjalin kerjasama strategik membangunkan Pusat Kecemerlangan dan Penyelidikan Emas yang terbesar di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, pusat itu yang dibangunkan di SIRIM Pahang dijangka beroperasi pada November depan.

Katanya, pusat itu bukan sahaja membangunkan industri emas, malah kesenian, rekabentuk dan pemasaran turut diberikan penekanan oleh SIRIM dan Ko-Makmur.

"Melalui kerjasama ini, SIRIM akan menggunakan kepakaran teknologi terutama memastikan setiap emas yang dihasilkan mempunyai ketulenan yang tepat.

"Setiap emas yang dihasilkan mempunyai satu nilai yang tepat dan pengguna tidak akan tertipu.

"Dengan kerjasama ini juga kita akan memastikan pengguna membeli barangan yang berkualiti dan dijamin terbaik pada setiap masa," katanya pada sidang media selepas perbincangan dan tinjauan tapak pembangunan pusat itu di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Ko-Makmur, Datuk Hishammuddin Abdullah.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerjasama itu permulaan baharu untuk Ko-Makmur meneroka pasaran lebih besar hingga ke peringkat antarabangsa.

Katanya, ini kerana SIRIM sebagai institusi yang diberi mandat bagi mengesahkan ketulenan mutu sesuatu produk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 10:33 AM