TM
TM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) mengesahkan ia akan menjalankan ujian 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk mengoptimumkan perkhidmatan itu.

"Semasa ujian perintis, pelanggan pascabayar mudah alih unifi dengan peranti 5G yang diperakui akan dapat merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan 5G di kawasan terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya," kata syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan, hari ini.

TM berkata kesalinghubungan teknologi dan digital menjadi satu keperluan dalam ekosistem hari ini.

Menurutnya, pelancaran 5G itu akan meningkatkan lagi penciptaan nilai bagi pengguna, PKS mikro dan perniagaan korporat.

"Kami akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan 5G bagi negara dan mempercepat lonjakan masyarakat, perniagaan dan industri ke arah Digital Malaysia," kata TM sebagai responsnya kepada laporan berita mengenai syarikat itu menjalankan ujian 5G dengan DNB.

DNB, milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara.

Pada 3 Disember, DNB berkata, ia menjangka melancarkan 10 peratus liputan perkhidmatan 5G di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur pada akhir bulan ini dengan bilangan tapak kumulatif sebanyak 500 tapak.

Bilangan ini akan ditingkatkan kepada 4,018 tapak atau 40 peratus liputan di kawasan berpenduduk di Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak pada 2022.

DNB juga menyasar mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk negara ini menjelang 2024 dengan 7,509 tapak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 12:03 PM