Dr Aimi Zulhazmi
Dr Aimi Zulhazmi
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Dasar potongan cukai kepada syarikat yang melaksanakan program integriti dan antirasuah yang diluluskan Kementerian Kewangan (MoF) dijangka akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara bagi jangka panjang.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan amat menggalakkan sektor korporat menganjurkan program bertemakan integriti serta antirasuah dan inisiatif ini diklasifikasikan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Katanya, inisiatif yang diberikan MoF ini adalah sesuatu yang progresif di dalam mendidik kefahaman masyarakat mengenai gejala rasuah dan kesannya yang memusnahkan masyarakat sama ada bagi jangka masa pendek mahupun panjang.

"Ia bertujuan untuk membabitkan sektor swasta atau korporat secara langsung untuk bersama-sama memberikan kesedaran bukan sahaja kepada pengurusan dan kakitangannya tetapi juga memberi peluang kepada sektor korporat untuk mendekati masyarakat melalui program CSR yang lebih progresif, selain daripada program biasa.

"Masyarakat perlu memahami pembabitan sektor awam dan sektor korporat berkait rapat dalam ekosistem mengawal gejala rasuah kerana ia berkait rapat antara satu sama lain.

"Selain itu, melalui program CSR antirasuah ini, masyarakat akan dapat menilai ketelusan peraturan tadbir urus pihak korporat, ia juga mampu memperbaiki tahapnya lebih tinggi.

"Saya percaya dengan pengecualian cukai ini ia akan menarik lebih banyak syarikat bagi mengadakan program antirasuah.

"Bahkan, ini juga akan memberi laluan baru kepada korporat untuk membuat program kesedaran gejala rasuah, selain dari program CSR yang biasa.

"Ia juga akan meningkatkan pandangan dunia dan memperbaiki rating rasuah dunia untuk Malaysia," katanya.

Beliau berkata, sektor korporat ini juga bukan hanya membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi juga syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di Malaysia.

"Dengan langkah proaktif dan progresif ia secara jangka panjang akan membantu menarik lagi pelaburan langsung asing (FDI) ke negara kita dan seterusnya memberi kesan yang positif kepada ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 7:00 AM