FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Nazli Rasyid Sulong

Tahun ini adalah ulang tahun ke-56 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensi khusus yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang rasuah serta bertanggungjawab dalam menggerakkan inisiatif pendidikan antirasuah di negara kita. Ini bermakna selama usia penubuhannya juga, SPRM fokus menjalankan fungsinya untuk mencegah jenayah rasuah daripada terus berleluasa.

Namun, seiring perubahan zaman, teknologi dan kepintaran, manusia, jenayah rasuah turut tidak ketinggalan mengalami revolusi.

Jika dahulu rasuah mudah dikesan, kini ia lebih lut sinar dan ampuh daripada pandangan mata kasar. Malah bukan suatu perkara pelik jika transaksi rasuah boleh berlaku tanpa melibatkan pergerakan fizikal atau material untuk dibuktikan. Ia bukan lagi dalam bentuk wang ringgit semata-mata, malah ia boleh menjangkau sehingga barang berharga atau mata wang maya.

Seiring jenayah yang semakin canggih dengan pelaku yang semakin licik, undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia juga sentiasa ditambah baik dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Jika 10 tahun dahulu undang-undang rasuah hanya tertakluk kepada individu sahaja, kini wujud peruntukan khas untuk organisasi komersial bagi memastikan kebertanggungjawaban korporat untuk melaksanakan perniagaan dalam persekitaran yang berintegriti dan bebas rasuah.

Jika perundangan sudah diperkukuh dan mekanisme kawalan dalaman telah ditetapkan, langkah seterusnya ialah mendidik individu dalam negara ini untuk memandang jijik kepada perbuatan rasuah. Seharusnya wujud kesepaduan dalam setiap individu untuk bersetuju bahawa rasuah itu adalah jenayah dan bukan sesuatu yang perlu dipandang dengan rasa belas kasihan atau simpati.

SPRM secara aktif mengambil pendekatan mendidik setiap peringkat masyarakat untuk membenci rasuah. Program Wira Anti-Rasuah (WAR) disasarkan khusus bagi audiens di peringkat sekolah (rendah dan menengah), manakala Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR) pula diadaptasi di peringkat institusi pengajian tinggi.

Bukan itu sahaja, bermula pada tahun ini, Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dilaksanakan sebagai kursus wajib dalam mata pelajaran Pengajian Umum di semua institusi pengajian tinggi di negara ini. Jadi boleh dikatakan usaha mendidik dan memberi pendedahan awal nilai positif dalam usaha menghindari rasuah ini jelas dilaksanakan diperingkat awal pendidikan.

Bagaimana dengan mereka yang sudah keluar daripada sistem pendidikan?

Untuk kelompok masyarakat lain, sentiasa wujud inisiatif memberi pendidikan pencegahan rasuah berterusan oleh SPRM.

Program libat urus dengan masyarakat diadakan secara khusus mengikut kelompok audiens. Contohnya, penganjuran program bersemuka bersama kelompok belia diadakan dari semasa ke semasa menerusi kumpulan atau persatuan belia. Tidak ketinggalan program bersemuka yang dianjurkan mengikut kaum (Cina dan India) sentiasa dialu-alukan.

Begitu juga kempen kesedaran yang tidak henti-henti ditayangkan di hadapan mata rakyat Malaysia. Baik mesej ingatan di lebuh raya hinggakan peringatan mesra di ruang maya atau ingatan ringkas di halwa telinga, semua telah diusahakan.

Walaupun hakikatnya sudah lebih lima dekad usaha mendidik masyarakat dilaksanakan secara menyeluruh dan proaktif, namun cabaran terhebat dalam menangani pencegahan rasuah ini ialah mendapatkan dan memelihara sokongan berterusan masyarakat umum dalam memerangi rasuah. Bagaimana untuk menzahirkan komitmen memerangi rasuah?

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) adalah antara penzahiran komitmen yang paling mudah untuk dilaksanakan baik oleh sektor awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan. Lafaz ikrar dan janji secara sukarela oleh seluruh organisasi yang akan diketuai oleh kepemimpinannya ini bertujuan menyematkan kebertanggung- jawaban dan komitmen setiap warga organisasi untuk melaksanakan tugas dengan berintegriti. Untuk makluman sehingga 31 Oktober 2023 sebanyak 2,049 organisasi (awam, swasta dan NGO) telah menandatangani IBR sebagai penzahiran komitmen antirasuah mereka.

Bagi mempelbagaikan dan menggalakkan penzahiran komitmen antirasuah daripada entiti korporat pula, insentif potongan cukai bagi pelaksanaan program integriti dan antirasuah yang melibatkan komuniti telah dilaksanakan berkuatkuasa 5 April 2021. Ia peluang yang baik untuk syarikat yang menjalankan perniagaan di Malaysia (termasuk koperasi) mengambil peluang melaksanakan aktiviti antirasuah bersama komuniti untuk menzahirkan komitmen organisasi.

Tarikh 9 Disember (hari ini) adalah Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang dipersetujui 190 negara yang menyertai United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) termasuk Malaysia dengan mengangkat tema Uniting The World Against Corruption (Menyatukan Dunia Menentang Rasuah). Tema ini menekankan kepentingan kesatuan dan kesepaduan setiap individu dalam memerangi jenayah rasuah yang boleh memberi impak kepada keamanan, keselamatan dan pembangunan negara.

Sokong dan sertai usaha SPRM memerangi rasuah dengan menyatakan pandangan atau sokongan anda di laman sosial dengan meletakkan tanda pagar #hara2023 #iacd2023 #sprmpencegahan. Selamat Hari Antirasuah Antarabangsa.

Penulis Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 6:31 AM