Azam Baki.
Azam Baki.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Pendekatan holistik menerusi tiga strategi utama iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan masyarakat akan terus digunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, usaha mencegah perbuatan korupsi tidak boleh diletakkan di atas bahu pihak berkuasa sahaja sebaliknya ianya tanggungjawab semua pihak.

Menurutnya, kerjasama antarabangsa juga penting dalam memerangi rasuah kerana kegiatan jenayah berkenaan tidak lagi terhad dalam sempadan sesebuah negara sahaja.

"Dalam usaha membentuk masyarakat bebas rasuah, SPRM melaksanakan tiga strategi bagi membanteras gejala berkenaan secara holistik.

"Rasuah memberi impak negatif kepada setiap dimensi dalam kalangan masyarakat. Ia menyebabkan konflik dan menghalang keamanan serta pembangunan negara.

"Oleh sebab itu, di Malaysia, SPRM menggunakan pendekatan holistik menerusi tiga strategi utama iaitu, penguatkuasaan (siasatan, pendakwaan), pencegahan, dan pendidikan masyarakat," katanya dalam ucapannya sempena Forum Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2022 yang diadakan secara hibrid dan dihadiri lebih 1,500 pekerja swasta dan pegawai kerajaan di seluruh negara tadi.

Antara syarikat yang terbabit adalah Top Glove Corporation, Isuzu Hicom, BASF Petronas Chemicals, FELDA Investment, UCSI Hospital serta majlis perbandaran.

Dalam ucapannya, Azam Baki menzahirkan perasaan bangga apabila Malaysia menyertai komuniti antarabangsa bersama-sama memperingati Hari Antirasuah Antarabangsa (UNCAC) dengan tema 'Menyatukan Dunia Menentang Rasuah'.

Katanya, usaha menentang gejala rasuah ini bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tetapi semua pihak termasuk individu, organisasi dan syarikat swasta.

"Peruntukan Liabiliti Korporat telah berkuat kuasa pada Jun 2020 di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009. Sesebuah organisasi komersial boleh didakwa jika mana-mana pekerja atau sekutunya melakukan rasuah untuk kepentingan organisasi.

"Prinsip peruntukan ini bukan semata-mata bersifat punitif, tetapi ia digubal bagi memastikan syarikat mengambil langkah yang mencukupi untuk mencegah rasuah dalam organisasi mereka," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha membantu syarikat-syarikat berkenaan membentuk organisasi bebas rasuah, badan korporat yang menjalankan kempen antirasuah boleh memohon pengecualian cukai bagi aktiviti berkenaan.

"Badan korporat dan syarikat swasta layak memohon pemotongan cukai bagi jumlah yang dibelanjakan bagi mengadakan aktiviti antirasuah.

"Insentif berkenaan diberikan supaya badan sektor terbabit dapat bekerjasama dengan SPRM dalam menjalankan program antirasuah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka," ujarnya.

caption

Pix 1 ; AZAM BAKI meneruskan usaha membenteras rasuah babitkan sektor korporat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 10:29 PM