NAJIB bersalaman dengan Erdogan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-13.
NAJIB bersalaman dengan Erdogan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-13.

Istanbul: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Turki memberi impak sangat memberangsangkan dengan peningkatan jumlah dagangan melonjak 48.4 peratus dalam tempoh setahun selepas perjanjian dibuat pada 2014.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, secara keseluruhan, hubungan dua hala antara dua negara itu berada dalam keadaan semakin baik dengan momentum kerjasama bertambah erat serta dapat diperluaskan.

“Hubungan dagang antara Malaysia dan Turki jika dibandingkan 2014 dan 2015, jumlahnya melonjak 48.4 peratus. Ini bererti FTA yang ditandatangani antara dua negara beri impak yang sangat memberangsangkan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-13, di sini.

Najib berkata, bagaimanapun beliau dan Erdogan bersetuju supaya usaha lebih gigih dilakukan kedua-dua negara untuk memastikan sasaran jumlah dagangan sebanyak AS$5 bilion (RM19.5 bilion) pada 2020 dapat dicapai.

“Kedua-dua negara bersetuju supaya usaha dilipatgandakan supaya sasaran dapat dicapai dalam jangka masa ditentukan atau sejurus selepas tarikh itu,” katanya.

Menurutnya, apa yang menarik dalam aspek hubungan ekonomi Malaysia dan Turki ialah jumlah pelaburan syarikat Malaysia di Turki dalam bidang tertentu amat ketara antaranya melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Khazanah Nasional Bhd dan Tenaga Nasional Berhad .

Beliau berkata, MAHB yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul pada peringkat awal pelaburan pada 2008 hanya memegang 20 peratus ekuiti saham tapi menjadi pemilik penuh lapangan terbang itu bermula 2014.

Menurutnya, Khazanah Nasional pula melabur 72 peratus dalam bidang penyedia insurans kesihatan Acibadem Sigorta manakala TNB berjaya mengambil alih 30 peratus saham dalam Gama Enerji AS untuk menerokai sektor tenaga di Turki.

“Saya juga meminta Erdogan supaya syarikat Turki mengimbangi (pelaburan) yang kita lakukan di Turki, sebab pada masa ini syarikat Malaysia mengatasi jumlah pelaburan dibuat syarikat Turki di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 8:09 AM