PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerapkan langkah kukuh bagi mengatasi kesan pandemik Covid-19 ke atas rakyat dan komuniti perniagaan seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (SDP NCER) 2021-2025.

Salah satu langkah mendapat sambutan baik daripada rakyat dan sektor perniagaan termasuk Program Fast-track NCIA, JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER yang dilaksanakan sebagai tindak balas segera untuk menggalakkan pemulihan sosio ekonomi dengan menangani kesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program modal insan berteraskan rakyat di bawah NCIA yang sedang berjalan ialah seperti Kasih Ibu Darul Aman (KIDA), empowerNCER Skills & Entrepreneurship, empowerNCER Academic, entrepreneurNCER, NCIA Talent Enhancement Programme (NTEP) dan Dana Usahawan Bumiputera (DUB@NCER).

"Program berkenaan digerakkan di seluruh NCER dengan lebih daripada 27,000 peserta untuk memenuhi pelbagai bantuan kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 serta pakej rangsangan PERMAI yang dilaksanakan di seluruh negara bagi merangsang pemulihan pendapatan rakyat dan PKS termasuk perusahaan mikro dalam sektor tidak formal," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA ke-25 secara dalam talian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, NCIA berjaya melangkau sasaran pelaburannya melalui kerjasama dengan agensi Persekutuan seperti Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), tahun lalu.

"Selain itu, NCIA juga mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan dalam sektor pembuatan, logistik, ekonomi digital, pelancongan, agribio dan ekonomi hijau.

"Bagi tahun 2021, NCIA menyasarkan pertambahan pelaburan bernilai RM16 bilion dan 20,000 peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, pencapaian NCIA pada tahun lalu adalah bukti kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan menyediakan pelbagai aktiviti ekonomi mampan untuk komuniti perniagaan.

"Inisiatif pemulihan sosio ekonomi yang terkandung dalam SDP NCER 2021-2025 memberi impak positif serta merta kepada rakyat selari dengan inisiatif pemulihan Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 10:07 PM