LOH (tengah) pada majlis pembukaan rasmi cawangan Watsons ke-600 di Pavillion Bukit Jalil,  semalam.
LOH (tengah) pada majlis pembukaan rasmi cawangan Watsons ke-600 di Pavillion Bukit Jalil, semalam.

WATSONS Malaysia melancarkan cawangan ke-600 di Pavilion Bukit Jalil yang menawarkan perkhidmatan lebih menarik termasuk memiliki kaunter isian semula.

Pengarah Urusannya, Caryn Loh berkata, premis terbaru berkeluasan kira-kira 4,810 kaki persegi itu adalah antara yang terbesar di Kuala Lumpur dan dilengkapi pelbagai produk dan perkhidmatan eksklusif.

"Selepas 27 tahun, akhirnya kami berjaya mencapai cawangan ke-600. Meskipun belum ada perancangan tetap, kami berharap dapat meningkatkan dua kali ganda perniagaan sekarang.

"Untuk kedai terbaru ini, kami sediakan banyak perkhidmatan menarik termasuk isian semula (produk). Kami mahu galakkan pembeli untuk terus mengitar semula bekas produk yang mereka ada," katanya.

Perniagaan berasaskan farmasi itu juga turut mengembangkan lagi perkhidmatan integrasi dengan pilihan beli-belah sama ada di kedai fizikal dan dalam talian (O+0).

"Ketika ini, hala tuju kami adalah ke arah memperluas platform jualan. Selain laman web serta aplikasi rasmi, Watsons turut berada di platform e-dagang antaranya Shopee, Lazada dan Grab.

"Misi kami untuk melestarikan pengalaman pembeli dan kepercayaan mereka agar terus kekal menjadi pelanggan setia," katanya pada majlis pembukaan rasmi cawangan Watsons ke-600. .

Bersempena pelancaran cawangan ke-600, Watsons menawarkan jualan sehingga 50 peratus, promosi hadiah eksklusif dan baucar kesihatan serta kecantikan tambahan dengan penjimatan mencecah RM186 sehingga 14 Disember 2021.

Ahli ke-600, ke-6,000 dan ke-60,000 yang berbelanja di mana-mana kedai Watsons berpeluang memenangi skim beli-belah percuma selama setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 2:32 PM