KHAIRUL
KHAIRUL

BANK Muamalat Malaysia Bhd dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) memeterai perjanjian bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana (MSC) mendapat akses pembiayaan.

Dalam satu kenyataan bersama, dua pihak terbabit berkata, perjanjian itu memberi kemudahan kepada pelanggan perniagaan Bank Muamalat memohon Skim Jaminan Kerajaan Pemulih (PGGS) yang menawarkan bantuan menerusi pembiayaan baharu, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan sedia ada dan pembiayaan modal kerja lanjutan bagi membantu usahawan terbabit menghidupkan semula perniagaan masing-masing.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, perjanjian itu hanya mengesahkan lagi komitmen bank berkenaan dalam memacu usaha membantu pihak PKS dan MSC memperkukuh kedudukan serta memberi tumpuan meningkatkan daya tahan dalam mengharungi fasa krisis Covid-19.

"Bank Muamalat terus membantu perniagaan mendapatkan modal diperlukan serta menjadi teras dalam memastikan pemulihan dan pertumbuhan seterusnya perniagaan itu," katanya.

Katanya, bank berkenaan juga mempunyai program pembiayaan sedia ada seperti Program Pembiayaan Dana Rantaian Bekalan Bumiputera Teraju bagi sektor penjagaan kesihatan (BSC Penjagaan Kesihatan) dan Program Pembiayaan Vendor Automotif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 7:01 AM