Mohammad Asyraf Khalib

MAJORITI syarikat dan perniagaan seringkali berdepan pelbagai rintangan untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Ini termasuk kekangan untuk menyediakan cagaran yang mencukupi serta terpaksa menanggung kos pembiayaan tinggi yang akhirnya membebankan kewangan mereka.

Memahami situasi itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) menawarkan skim-skim jaminan kerajaan bagi membantu pemilik perniagaan mengurangkan kekangan perniagaan mereka.

Peranan SJPP 

SJPP adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan. Syarikat ini berperanan mengurus dan mentadbir skim-skim jaminan kerajaan.

Skim-skim yang ditawarkan menjadi alternatif terbaik bagi PKS dan syarikat bersaiz pertengahan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan tanpa perlu menyediakan cagaran yang biasanya menjadi syarat utama pembiayaan. 

Menerusi skim jaminan ini, kerajaan akan menjamin dan melindungi institusi kewangan bagi setiap pembiayaan yang diberikan kepada mana-mana syarikat yang layak sehingga 90 peratus daripada jumlah pembiayaan.

Enam skim utama yang diuruskan SJPP:

Sebanyak 9 skim jaminan kerajaan ditawarkan dan ia boleh didapati di semua institusi kewangan yang mengambil bahagian. Antara skim jaminan kerajaan ditawarkan sehingga kini ialah:

  • Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS); 
  • Skim Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PPP)
  • Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi (SRSBBT)

Kelayakan jaminan

Setakat ini, skim yang mendapat permohonan tertinggi adalah PGGS kerana skim ini sesuai untuk perniagaan mikro sehinggalah kepada syarikat bersaiz pertengahan (MSC).  

PGGS terbuka kepada entiti dengan jualan tahunan tidak melebihi RM500 juta berdasarkan akaun yang diaudit (atau penyata cukai pendapatan di mana berkenaan) untuk mana-mana tahun kewangan yang berakhir pada tahun 2019 atau yang terbaru serta memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Syarikat pemilikan tunggal yang dimiliki rakyat Malaysia;
  2. Syarikat Perkongsian, dan Perkongsian Liabiliti Terhad yang dikawal dan majoriti dimiliki rakyat Malaysia; atau
  3. Syarikat yang sekurang-kurangnya 51 peratus saham dipegang dan dikawal oleh rakyat Malaysia

Syarikat yang memohon juga mestilah diperbadankan di bawah:

  1. Akta Pendaftaran Perniagaan 1956;
  2. Akta Syarikat 1965 atau 2016;
  3. Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012;
  4. Pihak Berkuasa atau Pejabat Daerah di Sabah dan Sarawak; atau
  5. Badan Berkanun bagi pembekal perkhidmatan professional

Terma dan syarat lain mungkin dikenakan, bergantung kepada penilaian Institusi-institusi Kewangan dan SJPP.

22 institusi kewangan

Bagi memastikan kemudahan jaminan ini dinikmati oleh semua pihak, sebanyak 22 Institusi Kewangan mengambil bahagian menerusi skim ini merangkumi Bank Komersial, Bank Islamik dan Bank-Bank Pembangunan di bawah skop pemerhatian Bank Negara Malaysia serta Institusi Kewangan bukan perbankan seperti syarikat pembiayaan kredit dan Koperasi.

Usawahan dan perniagaan yang berminat boleh membuat semakan di Institusi Kewangan terlibat menerusi pautan ini

Bagi syarikat dan perniagaan yang berminat untuk memohon skim-skim jaminan ini, pastikan anda  menyemak kelayakan perniagaan di Institusi Kewangan yang terlibat.

Seterusnya, permohonan kemudahan pembiayaan boleh dibuat dengan menyediakan dokumen lengkap dan menyerahkan dokumen berkenaan kepada pegawai Institusi Kewangan yang bertugas.

Institusi Kewangan akan menilai permohonan untuk kemudahan pembiayaan. Satu salinan permohonan penuh pembiayaan akan dikemukakan kepada SJPP sekiranya syarikat dan perniagaan tidak mempunyai cagaran atau tiada cagaran yang mencukupi.

SJPP akan melakukan proses penilaian permohonan-permohonan skim jaminan bagi tujuan kelulusan jaminan perlindungan. Yuran jaminan sehingga satu peratus setahun akan dikenakan kepada jaminan perlindungan yang perlu dibayar terlebih dahulu oleh syarikat dan perniagaan.

Mohon pembiayaan dengan jaminan SJPP

Sejak penubuhannya, SJPP terus berkembang menerusi pengumuman pelbagai inisiatif daripada kerajaan yang memanfaatkan lebih 60,000 PKS sehingga kepada syarikat bersaiz pertengahan. 

Kerajaan menerusi SJPP komited menjalin kerjasama lebih erat dengan Institusi Kewangan agar dapat memberikan penyelesaian terbaik kepada syarikat dan perniagaan yang menghadapi masalah cagaran. 

Dengan jalinan dan kerjasama ini, kerajaan berharap dapat mengurangkan masalah yang membelenggu kebanyakan syarikat dan perniagaan hingga kini.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Skim-Skim Jaminan Kerajaan atau inisiatif menarik yang ditawarkan SJPP, layari www.sjpp.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 10:13 AM