Dr Mohd Yusof Saari
Dr Mohd Yusof Saari
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Penutupan ekonomi tidak sewajarnya menjadi langkah utama yang perlu dipertimbangkan bagi mengekang penularan Covid-19, susulan varian baharu Omicron.

 Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) ialah pendekatan bukan farmaseutikal yang digunakan kebanyakan negara untuk membendung penularan virus Covid-19 sejak pertama kali muncul di Wuhan, China.

Katanya, keberkesanan PKP pertama terbukti apabila kes harian mencatatkan tidak lebih 300 kes dalam tempoh tiga bulan.

"Namun begitu, kesan ekonomi akibat PKP sangat besar, di mana ia membawa kepada penguncupan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2020 sebanyak -17.1 peratus dan kadar pengangguran meningkat kepada 5.1 peratus (kadar biasa 3.3 peratus)," katanya.

Katanya, sebagai tindak balas, kerajaan membuka semula ekonomi secara beransur-ansur dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Ekonomi terkesan akibat pendekatan 'buka dan tutup' walaupun kerugian harian dalam setiap PKP menurun seperti diunjurkan Kementerian Kewangan, (PKP 1.0: RM2.4 bilion; PKP 2.0: RM600 juta dan PKP 3.0: RM200 juta).    

"Kerajaan membelanjakan sejumlah besar bagi setiap siri PKP bagi memastikan kestabilan ekonomi melalui siri pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan RM530 bilion," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata, tanda pemulihan dilihat yang dipacu oleh pembukaan semula ekonomi dan kejayaan program vaksinasi.

Namun, katanya, ekonomi masih memerlukan sokongan daripada kerajaan.

 "Bajet 2022 menyediakan hala tuju jelas ke arah pemulihan ekonomi pada 2022 dan tahun mendatang.

"Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia berkembang masing-masing 6.0 dan 5.0 peratus pada 2022.

"MOF juga mengunjurkan kadar pengangguran menurun dan mencapai 4.0 peratus pada 2022 jika pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) berada di sekitar 5.5 hingga 6.5 peratus," katanya.

Katanya, memandangkan usaha besar dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sokongan dalam mewujudkan dan mengekalkan pekerjaan dalam Bajet 2022, lebih ramai pekerja menganggur dijangka kembali ke sektor formal.

 Mohd Yusof berkata, sudah tentu unjuran ini dibuat tanpa mengambil kira PKP (jika dilaksanakan) yang boleh mengganggu proses pemulihan.

  "Ringkasnya, pendekatan 'mengurung ekonomi' mempunyai implikasi besar kepada ekonomi negara terutama pasaran buruh, walaupun keberkesanannya sebagai langkah bukan farmaseutikal tidak dapat dinafikan dapat membantu dalam mengekang penularan virus Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:01 AM