Dr Mohd Yusof
Dr Mohd Yusof
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: "Keseimbangan antara kesihatan rakyat dan kesihatan ekonomi adalah aspek penting yang perlu diberi keutamaan ketika ini," kata Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari.

Menurutnya, ini memandangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberi kesan kepada pemulihan ekonomi negara.

Katanya, kedudukan ekonomi pada Mac dan April lalu berada pada landasan pemulihan yang progresif.

"Pada pandangan saya, penutupan dan mengehadkan aktiviti ekonomi dalam berskala besar bukan pilihan yang ideal pada masa ini.

"Kesan kepada ekonomi besar jika dilakukan dan kerajaan dilihat memiliki ruang fiskal yang sangat terhad dalam membiayai pakej rangsangan ekonomi berskala besar.

"Malah, terdahulu, tahun lalu menyaksikan empat pakej rangsangan ekonomi diumumkan dengan membabitkan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM300 billion," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, jika PKP 3.0 membabitkan negeri membangun seperti Selangor dan Kuala Lumpur yang mempunyai kepadatan industri tinggi, impak kepada ekonomi akan lebih besar.

Beliau berkata, hal ini kerana Selangor dan Kuala Lumpur adalah penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

"Mengadakan PKP 3.0 dalam yang lebih bersasar dan berskala kecil mungkin dapat meminimumkan kesan kepada ekonomi manakala pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat juga perlu diambil perhatian.

"Pengalaman Malaysia melaksanakan beberapa siri kawalan pergerakan seperti PKP 1.0, PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) menunjukkan keberkesanan dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

"Bagaimanapun, pelaksanaan PKP memberi kesan kepada ekonomi dalam bentuk pengurangan pengeluaran barangan dan perkhidmatan oleh sektor ekonomi dan peningkatan pengangguran.

"Kesan akibat daripada pelaksanaan PKP ke atas ekonomi dan pekerjaan ini dapat dilihat secara jelas sepanjang 2020 dan awal tahun 2021 apabila PKP 2.0 dilaksanakan.

"Umpamanya pembukaan semula aktiviti ekonomi selepas tempoh PKP 1.0 menurunkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.9 peratus pada Jun 2020.

"Apabila beberapa negeri utama yang menjadi tulang belakang ekonomi negara dikenakan PKPB dan PKPD pada sukuan keempat 2020, kadar pengangguran meningkat daripada 4.7 peratus pada Oktober kepada 4.8 peratus pada Disember," katanya.

Mohd Yusof berkata, pelaksanaan PKP 2.0 pula pada pertengahan Januari 2020 memberi kesan sederhana kepada ekonomi berbanding kesan pelaksanaan PKP 1.0.

"Hal ini kerana PKP 2.0 membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi dengan pematuhan SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 7:01 AM