GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Lebih 40 peratus taman tema dan pusat hiburan keluarga di Malaysia akan ditutup sepenuhnya jika masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga akhir tahun ini.

Presiden Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa), Tan Sri Richard CK Koh berkata, taman tema dan pusat hiburan keluarga antara sektor dalam industri pelancongan yang pertama ditutup sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Beliau berkata, ia juga menjadi sektor terakhir yang dibuka malah sehingga kini masih belum ada sebarang petanda daripada kerajaan untuk membenarkan pembukaan kembali taman tema dan pusat hiburan keluarga.

Katanya, sektor itu berdepan dengan kerugian sehingga lebih RM5 bilion dalam tempoh 18 bulan lalu dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

"Impak pandemik kepada taman tema dan pusat hiburan keluarga adalah sangat teruk. Sudah banyak taman tema yang menutup operasi sepenuhnya atau menjual kepada pihak lain.

"Kami mengunjurkan jika situasi ini berlarutan, lebih daripada 30 peratus taman tema dan pusat hiburan keluarga akan menutup perasi mereka selama-lamanya.

"Sehingga kini, 18 pengusaha sudah menutup operasi mereka dan jumlah ini dijangka terus meningkat. Ia mengakibatkan 40 peratus atau sekitar 15,000 daripada 50,000 pekerja dalam sektor ini sudah kehilangan pekerjaan.

"Kami juga kecewa kerana kebenaran untuk aktiviti ke sungai dan pantai dibenarkan, tetapi taman tema dan pusat hiburan keluarga masih tidak dibuka.

"Jika diikutkan, taman tema dan pusat hiburan keluarga lebih menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan langkah pencegahan yang ketat. Malah, pekerja juga kebanyakannya sudah mendapat vaksin lengkap" katanya.

Hampir 50,000 pekerja terbabit secara langsung dalam sektor taman tema dan pusat hiburan keluarga.

Ia tidak termasuk pekerja sokongan dan kontraktor yang terbabit dalam sektor itu.

Koh berkata, jumlah kehilangan pekerjaan berkemungkinan akan terus meningkat jika operasi taman tema dan pusat hiburan keluarga tidak dibuka kembali.

Tegasnya, sekiranya dibenarkan beroperasi kapasiti dijangka lebih kecil kerana masalah utama kebanyakan pengusaha ketika ini adalah aliran tunai dan tenaga kerja yang sangat terhad.

Tambahan lagi katanya, kebanyakan pengusaha tidak pasti dapat beroperasi sepenuhnya pada masa akan datang.

"Bagi syarikat senaraian awam, mereka berkemungkinan boleh mengatasi aliran tunai ini dan mencari sumber kewangan lain bagi menampung kerugian taman tema.

"Namun, bagi pengusaha bersaiz sederhana dan kecil, tanpa sokongan dan bantuan kerajaan seperti pinjaman kewangan, adalah sukar untuk mereka memastikan kelangsungan perniagaan.

"Matfa menggesa kerajaan mengadakan perjumpaan segera dengan ahli-ahli kami bagi merangka langkah membantu sektor ini kembali 'bernyawa' sekali gus menjamin peluang pekerjaan," katanya.

Matfa juga katanya, meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan mengecuali atau membekukan cukai hiburan berjumlah 25 peratus dalam usaha mengekang kesan ekonomi Covid-19 dalam pembentangan Belanjawan 2022.

Beliau berkata, pengecualian cukai menjadi satu keperluan yang perlu diteliti kerajaan, memandangkan cukai yang termaktub dalam Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103) tidak lagi relevan dengan operasi semua taman tema di Malaysia.

"Kami cadangkan kerajaan mansuhkan cukai hiburan kerana kadar 25 peratus amat tinggi yang mana menjejaskan pendapatan operator taman tema dan menyebabkan harga tiket masuk yang lebih tinggi dikenakan kepada pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 3:24 PM