Taman Tema Sunway Lagoon. FOTO ARKIB NSTP
Taman Tema Sunway Lagoon. FOTO ARKIB NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pembukaan satu demi satu sektor ekonomi jelas memberi kelegaan kepada pemain industri, namun masih terdapat beberapa sektor yang masih menaruh harapan untuk diberi kebenaran beroperasi.

Antara sektor paling terkesan dan belum diberi 'lampu hijau' untuk beroperasi termasuk taman tema, gimnasium, sektor membabitkan acara dan perkahwinan serta pusat rawatan urutan dan refleksologi.

Rata-rata pengendali sektor terbabit meminta agar kerajaan mempertimbangkan dan memberi peluang untuk membuka semula operasi mereka kerana selain sudah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, mereka juga sudah melengkapi dua dos vaksinasi.

Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi kebenaran untuk membuka semula taman tema kepada umum dengan SOP yang diperincikan.

"Kami bersedia mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan dan Sunway Theme Parks sendiri sudah bersedia untuk membuka pintu gerbang kami kepada orang ramai.

"Ini kerana kadar pemberian vaksin kepada pekerja dan pengendali kedai kami juga sudah mencapai kadar 100 peratus.

"Ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada pekerja kami dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyambut pengunjung, bahkan orang ramai juga akan berasa lebih yakin untuk melawat taman tema kami," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pembukaan taman tema juga akan memberi manfaat kepada peruncit kecil, pengusaha dan ejen pelancongan, pengendali bas dan pengangkutan awam serta banyak lagi dalam membantu pekerjaan dan ekonomi sekeliling yang sangat memerlukan antara satu sama lain.

Calvin berkata, pihaknya turut berdepan dengan cabaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan terutama untuk memastikan haiwan di Sunway Lagoon dan Sunway Lost World Of Tambun tetap terjaga.

"Haiwan di taman tema memang sudah terbiasa dengan kehadiran ramai pengunjung dan sudah pasti sepanjang pandemik ini berlaku, haiwan juga terjejas.

"Kami berharap selepas ini sektor taman tema dibenarkan untuk beroperasi semula dan kami akan mengikut setiap SOP yang disyorkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, pengusaha gimnasium Zulkeflee Abd Aziz berkata, beliau berharap kerajaan dapat menyediakan SOP khusus untuk perniagaannya kembali beroperasi.

Menurutnya, kebanyakan gimnasium dimiliki pengusaha tempatan, dibuka di kawasan lot kedai dan mempunyai pengaliran udara yang baik.

"Tidak adil untuk kami pengusaha kecil ini tidak dibenarkan beroperasi kerana gimnasium yang berhawa dingin sepenuhnya (komersial) kebanyakannya berada di pusat beli-belah dan berbeza dengan pusat gimnasium kami yang lebih fleksibel sistem pengudaraannya.

"Kami bersedia mengikuti SOP ketat yang ditetapkan kerajaan asalkan gimnasium dapat dibuka semula kerana seperti saya, sewa premis masih perlu dibayar walaupun gimnasium ditutup dan sekarang terpaksa bekerja sambilan sebagai penghantar makanan serta menjual barang terpakai.

"Komitmen bulanan masih perlu dibayar dan jika dibenarkan beroperasi, ia memberi nafas baru kepada kami," katanya yang sudah enam tahun membuka GymNetwork di Desa Petaling, dekat sini.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataannya berkata, kerajaan akan membenarkan beberapa kelonggaran baharu yang dinilai berisiko rendah dan pengumuman mengenai kelonggaran tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi itu akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:31 PM