ATM dan anggota polis turut menerima elaun khas. FOTO NSTP
ATM dan anggota polis turut menerima elaun khas. FOTO NSTP
Bisnes HM


KAKITANGAN barisan hadapan menerima elaun khas berjumlah RM222.4 juta membabitkan 694,447 tuntutan setakat 7 Ogos lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tuntutan Elaun Khas Barisan Hadapan (Frontliners) itu terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan Covid-19.

"Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam kenyataan mengenai laporan terkini Laporan Laksana ke-17 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Prihatin peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 untuk petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan untuk membendung Covid-19.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, APM dan RELA yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan PKP, mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun itu dibayar mulai 1 April 2020 hingga wabak berakhir.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion bagi membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

"Setakat 7 Ogos lalu, sejumlah RM512.5 juta sudah disalurkan dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memerangi Covid-19.

"Ini kerana, pembendungan penularan wabak Covid-19 adalah faktor kritikal dalam pemulihan ekonomi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:09 PM