FOTO  Asyraf Hamzah
FOTO Asyraf Hamzah

UEM Sunrise Bhd menyasarkan untuk melancarkan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion tahun ini dan menetapkan sasaran jualan RM2 bilion untuk dicapai bagi 2020.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pelancaran hartanah bagi 2020 akan lebih tertumpu di kawasan wilayah tengah seperti Residensi Allevia di Mon’t Kiara dan Residensi Equine 9 di Seri Kembangan termasuk blok pejabat pertama Solaris Parq.

“Kami percaya langkah meneruskan pelancaran projek baharu dapat memastikan kemampanan perniagaan kami dan mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh,” katanya pada taklimat media mengenai strategi pertumbuhan bagi 2020 dan menampilkan UEM Sunrise 2.0 di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan jualan belum dibilkannya meningkat ke paras sehingga RM4 bilion dalam tempoh dua tahun ini berbanding RM1.8 bilion setakat akhir 2019.

Dalam pada itu, mengulas mengenai rancangan pelupusan tanah dan aset tidak strategik UEM Sunrise, Anwar Syahrin berkata, pihaknya meninjau untuk menjual tanah dan aset tidak strategik bernilai antara RM400 juta dan RM500 juta memandangkan pengimbangan semula portfolio kekal sebagai strategi utamanya bagi 2020.

“Langkah ini membolehkan kami mengurangkan hutang korporat ke paras yang selesa, sekali gus membolehkan akses kepada pembiayaan lebih mudah dan pantas berikutan penarafan kredit lebih baik.

“Dana yang diraih daripada pelupusan aset dan tanah tidak strategik akan disalurkan kepada usaha sama baharu termasuk untuk mendapatkan tanah simpanan baharu di kawasan utama termasuk Melbourne, Sydney dan London,” katanya.

Antara kawasan dikenal pasti untuk dijual terletak di Mersing (Johor), Kulai (Johor), Tapah (Perak), Seputeh (Kuala Lumpur) dan Seri Kembangan (Selangor).

Pihaknya juga dalam rundingan dengan pembeli berpotensi untuk tanah di Tapah dan Seputeh.

Pada tahun kewangan 2019, UEM Sunrise menjual tanah dan aset tidak strategiknya bernilai RM429 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 10:01 AM