PROJEK Denai Nusantara, Rumah Mampu Milik Johor  yang dibangunkan UEM Sunrise Bhd di Iskandar Puteri.
PROJEK Denai Nusantara, Rumah Mampu Milik Johor yang dibangunkan UEM Sunrise Bhd di Iskandar Puteri.
Nabil Basaruddin


Petaling Jaya: UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), syarikat hartanah terkemuka tempatan akan memberi fokus kepada tiga teras utama dalam usaha memperkukuhkan prestasinya pada tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, dalam usaha memperkukuhkan prestasi tahun ini, syarikat akan memberi fokus kepada tiga teras penting iaitu mengukuhkan reputasi, menerapkan budaya perkhidmatan dalam organisasi serta mempelbagaikan asas geografi dan perniagaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) UEM Sunrise ke-9 di sini, semalam.

Katanya, ketika ini, syarikat mempunyai bank tanah seluas 5,260 hektar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM108 bilion untuk dibangunkan dalam tempoh 30 tahun.

Katanya, jumlah bank tanah itu menjadikan UEM Sunrise sebagai antara syarikat dan pemaju hartanah yang berjaya dengan kepelbagaian produk hartanahnya yang terdiri dari segmen kediaman, komersial dan projek bercampur di Malaysia.

“Kebanyakan bank tanah UEM Sunrise berada di Johor dan lokasi lain termasuk di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak serta di Australia dan Afrika Selatan bagi segmen luar negara.

“Sebagai pemaju hartanah, syarikat sentiasa meninjau kawasan strategik dengan nilai dan potensi tertentu untuk dijadikan bank tanah yang baru bagi memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan.

“Pada separuh kedua tahun ini, orang ramai bakal menyaksikan projek baru yang akan dilancarkan syarikat seperti Dahlia di Serene Heights Bangi, Solaris Park Residences di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur dan Serimbun di Bukit Indah, Johor,” katanya.

Untuk projek di luar negara, beliau berkata, UEM Sunrise akan melancarkan fasa ketiga pembangunan Mayfair, St Kilda Road di Melbourne, Australia pada separuh kedua tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar Syahrin berkata, UEM Sunrise merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) berjumlah RM61.3 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu berbanding RM3 juta yang dicatatkan suku sama tahun lalu.

Katanya, jumlah perolehan meningkat kepada RM541.8 juta untuk tempoh sama iaitu lebih tinggi daripada catatan RM257.8 juta tahun lalu.

“Keputusan kukuh itu disumbangkan oleh segmen pembangunan hartanah yang diterjemahkan kepada pendapatan bernilai RM500.3 juta, juga lebih tinggi berbanding dengan RM230.3 juta tahun lalu.

“Projek di Wilayah Tengah menyumbang 41 peratus daripada hasil pembangunan hartanah terutama Residensi22 di Mont’ Kiara diikuti Wilayah Selatan sebanyak 35 peratus disokong oleh Teega di Puteri Harbour,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 1:30 AM