KETUA Pegawai Rangkaian TM, Azizi A Hadi (tiga dari kiri) bersama Naib Presiden Huawei Malaysia, Zac Chow (tiga dari kanan) pada majlis memeterai usaha sama TM dan Huawei.
KETUA Pegawai Rangkaian TM, Azizi A Hadi (tiga dari kiri) bersama Naib Presiden Huawei Malaysia, Zac Chow (tiga dari kanan) pada majlis memeterai usaha sama TM dan Huawei.
Nabil Basaruddin

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) dan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd (Huawei) menjalin usaha sama untuk memacu pengkomersialan 5G di Malaysia apabila negara ini beralih menjadi negara digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar berkata, memorandum persefahaman yang termeterai itu adalah perkembangan menarik yang menyaksikan TM bekerjasama dengan syarikat global seperti Huawei bagi memacu perkhidmatan 5G kepada rakyat Malaysia.

Katanya, sebagai pembekal infrastruktur telekomunikasi nasional bagi aspirasi Negara Digital Malaysia, teknologi 5G akan melengkapkan penawaran berwayar, sambungan bertaraf dunia serta infrastruktur digital sedia ada.

“Ini membolehkan kami membawakan lebih banyak rumusan digital inovatif kepada semua pelanggan merentasi pelbagai segmen.

“TM menerusi produk dan rumusan inovatif dan komprehensif akan terus menyediakan asas bagi Revolusi Perindustrian 4.0 dan pelaksanaan 5G seluruh negara,” katanya pada kenyataan di sini, semalam.

Noor Kamarul berkata, usaha sama terbabit bakal membuka ruang kepada pelaksanaan rangkaian, aplikasi dan rumusan 5G masa depan yang lebih pantas.

“Ia termasuklah untuk kediaman dan perniagaan di Malaysia, serta lebih lagi, selari dengan aspirasi kami untuk memacu Malaysia Digital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Michael Yuan berkata, TM dan Huawei telah berganding bahu selama 15 tahun.

“Kami telah bersama-sama menghubungkan lebih ramai individu sejak sekian lama dan kini berada di persimpangan transformasi digital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 2:14 PM