PELUANG sepanjang Koridor Landasan KTMB diteroka.
PELUANG sepanjang Koridor Landasan KTMB diteroka.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Fiberail Sdn Bhd (Fiberail) dan edotco Group Sdn Bhd (edotco) menjalin kerjasama strategik bagi menyediakan perkhidmatan infrastruktur bebas tanpa wayar sebagai persediaan kepada sektor telekomunikasi berdepan teknologi 5G.

Kerjasama terbabit untuk memacu perluasan perkhidmatan LTE milik pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dengan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Fiberail, Mohamed Asri Jaafar berkata, kerjasama itu membolehkan mereka meneroka peluang di sepanjang koridor landasan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sekali gus membolehkan MNO meluaskan liputan perkhidmatan ke kawasan luar bandar.

Katanya, Fiberail akan menyediakan sambungan lebar jalur dan kabin berpusat untuk peralatan milik pengendali mudah alih sementara edotco akan mendirikan dan menguruskan menara telekomunikasi pintar dan tiang di sepanjang koridor terbabit.

“Kami jangka kerjasama ini akan membawa kepada liputan yang lebih baik bagi memacu perkhidmatan Internet Benda (IoT) dan rumusan perkhidmatan pintar yang lain,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif edotco, Suresh Sidhu berkata, kerjasama itu meneroka kaedah untuk memanfaatkan infrastruktur semasa dan melengkapkan negara dengan teknologi generasi akan datang.

“Ini adalah untuk membolehkan MNO memenuhi keperluan liputan dan kapasiti, seterusnya memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik walaupun ketika berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 10:30 AM