Lizam Ridzuan


SEMEMANGNYA model Toyota Corolla yang mula ditawarkan ke pasaran global sejak 1966 memiliki sejarah tersendiri.

Malah ia model Toyota pertama yang mula dipasang di negara ini pada 1968 menerusi model KE10.

Sehingga kini, model keluaran Toyota sudah terjual melebihi 150,000 unit.

Merentasi tempoh waktu, Corolla terus menjadi pilihan buat mereka yang inginkan kenderaan yang selesa dan menawarkan penggunaan bahan api efisien.

Namun untuk beberapa tahun sebelum ini, Corolla Altis (nama untuk pasaran Asia Tenggara) tidak begitu menyerlah dalam kenderaan segmen-C yang dilihat dikuasai oleh jenama dari Jepun yang lain.

Baru-baru ini, Vroom berkesempatan memandu uji model Corolla Serba Baharu generasi ke-12 yang tampil lebih berbeza dan sporty.

TAMPIL lebih sporty dan muda.
TAMPIL lebih sporty dan muda.

BAHAGIAN belakang dengan perumah lampu bersepadu.
BAHAGIAN belakang dengan perumah lampu bersepadu.

Model kali ini masih dikenali sebagai Corolla Altis, namun UMW Toyota (UMWT), sebagai pengedar utamanya di Malaysia, hanya mahu ia dikenali sebagai Corolla untuk meletakkan ia kembali ke posisi segmen yang lebih premium.

Melihat kepada bentuk luaran, sememangnya ini Corolla yang paling penulis gemari kerana menampilkan rekaan lebih bergaya.

Ia yang dibina di atas platform baharu ‘Toyota New Global Architecture’ (TNGA) yang juga dibangunkan untuk Camry kini menampilkan gaya signatur terutama pada bahagian hadapannya.

Pada bampar, dengan ciri ‘catamaran’, ia tampil lebih kukuh dengan elemen krom pada beberapa bahagian menyerlahkan elemen premium dan sporty.

Lampu hadapan pula lebih tirus dengan Bi-LED automatik dengan fungsi Follow-Me-Home. Ia menghasilkan elemen dinamik yang direka dengan sentuhan artistik.

RIM aloi bersaiz 17 inci.
RIM aloi bersaiz 17 inci.

Konsep garisan minimalis berkesinambungan ke bahagian tepi. Seterusnya, pada bahagian belakang, ia turut menampilkan perumah lampu dengan rekaan lebih sporty, juga daripada LED.

Untuk pasaran Malaysia, Corolla Serba Baharu ditawarkan melalui dua varian iaitu 1.8G (yang diuji penulis) dan 1.8E.

Antara perbezaan mudah untuk dilihat ialah saiz rim yang ditawarkan.

Untuk G yang juga varian tertinggi, ia didatangkan dengan rim aloi 17 inci dengan sentuhan metalik dan hitam dan untuk varian E, ia tampil dengan rim aloi 16 inci.

Elemen krom juga terdapat pada bahagian atas pintu dan but serta pembuka pintu menjadikan ia lebih elegan.

Selain itu, pada cermin sisi, ia dilengkapi lampu membelok dan Monitor Titik Buta (BSM).

ENJIN 1,798 cc DOHC Dwi-VVT-i.
ENJIN 1,798 cc DOHC Dwi-VVT-i.

Menjengah ke bahagian dalaman, Corolla Serba Baharu ini dipadankan dengan sentuhan warna hitam dan gelap terutama pada bahagian tempat duduk kulit untuk disesuaikan dengan golongan sasar lebih muda.

Pada bahagian pemandu, ia didatangkan dengan kerusi larasan elektrik dengan lapan posisi.

Ia membantu mengurangkan rasa penat terutama untuk perjalanan jauh.

Pada bahagian meter optitron, disediakan Paparan Pelbagai Maklumat dengan gred tinggi yang boleh diubah mengikut mod pemanduan daripada analog dan digital.

Rekaan roda stereng pula ringkas dengan butang pelbagai fungsi padanya dengan kemasan krom dan pada papan pemuka dipadankan dengan pemain multimedia skrin sesentuh bersaiz 6.8 inci.

Ia juga dilengkapi fungsi pencerminan USB, radio, mp3, kamera undur, panggilan suara telefon dan bluetooth yang juga boleh disambungkan ke aplikasi hiburan menerusi telefon pintar.

KERUSI penumpang selesa.
KERUSI penumpang selesa.

Namun pada pandangan penulis, rekaan bingkainya terlalu besar dan ia mungkin tambah menarik jika direka dengan lebih kompak untuk tampil elegan.

Ruang dalaman Corolla Serba Baharu ini turut dilengkapi dwizon penyaman udara bagi keselesaan seisi kenderaan dengan saluran untuk tempat duduk belakang pada konsol tengah.

Untuk mengurangkan pencahayaan matahari, cermin belakang dilengkapi peneduh seakan-akan tirai yang boleh ditarik secara manual.

Untuk kemudahan pengecasan, disediakan pengecas tanpa wayar serta USB dan sambungan soket 12 voltan pada konsol tengah hadapan.

Ia juga dilengkapi perakam video digital hadapan dan belakang (DVR).

Menyentuh mengenai pemanduan, ia dibekalkan dengan enjin 2ZR-FE 1,798 cc DOHC Dwi-VVT-i yang menjana kuasa kuda 139PS pada 6,400rpm dan tork 172Nm pada 4,000rpm.

Sememangnya enjin ini menawarkan kecekapan penggunaan bahan api dengan kualiti, ketahanan dan boleh dipercayai prestasinya.

Untuk kelancaran, ia dibekalkan dengan kotak gear tujuh kelajuan Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) untuk pertukaran gear lebih pantas dalam pecutan.

METER optitron gabungan digital dan analog.
METER optitron gabungan digital dan analog.

Dua mod pemanduan tersedia iaitu Eco dan Sport dengan ‘paddle shifter’ untuk pilihan sama ada bagi kecekapan bahan api atau bagi merasai kuasa lebih responsif.

Melalui pengalaman penulis, ia menawarkan keselesaan dengan pengendalian terbaik pada pelbagai kelajuan serta stabil melewati selekoh sama ada ketika pendakian ke Genting Highlands.

Ia disokong suspensi belakang Tulang Selangka Berganda (Double Wishbone) yang mengukuhkan pengendalian dan tindak balas ketika membelok pada pelbagai kelajuan.

Selain prestasi, ia juga dilengkapi sistem keselamatan dan teknologi terbaik seperti tujuh beg udara SRS, sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek (BA) dan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) serta Paparan Titik Buta (BSM).

Lainnya ialah Bantu Mula Bukit (HAC), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC), Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) dan Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC) untuk semua kelajuan.

Juga dengan Isyarat Amaran Keluar Lorong (LDA), Sistem Bantuan dengan Pengawasan Kawalan Kegunaan Lorong (LTA), Cahaya Automatik Lampu Besar (AHB), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar dan Brek Parkir Elektronik (EPB) dengan Sistem ‘Brek Hold’, Isofix, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Sensor Parkir.

PAPAN pemuka rekaan terkini.
PAPAN pemuka rekaan terkini.

Secara keseluruhan, Toyota Corolla Serba Baharu ini tampil lebih sporty, menarik dan bergaya daripada model sebelumnya selain memberi lebih pilihan dalam kenderaan segmen-C di negara ini.

Dilengkap kemasan lebih premium dan dalam masa tidak terlalu berlebih-lebih, ia memang unik dalam kelas tersendiri.

Penulis menggemari elemen lampu dalaman yang hidup secara automatik setiap kali menghampiri kenderaan ini selagi kunci ada di poket.

Ia amat memudahkan terutama ketika cuaca gelap atau pada waktu malam.

Diimport sepenuhnya dari Thailand, lima pilihan warna ditawarkan iaitu ‘Celestite Gray Metallic’, ‘White Pearl CS’, ‘Silver Metallic’, ‘Attitude Black’ dan ‘Red Mica Metallic’.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Corolla Altis Serba Baharu ditawarkan melalui dua varian iaitu Corolla 1.8E (RM128,888) dan Corolla 1.8G (RM136,888) dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 7:01 AM