Shahril ketika mengulas kenyataan media. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
Shahril ketika mengulas kenyataan media. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
BERNAMA

KHAZANAH Nasional Bhd akan mengurangkan lagi hutangnya kepada antara RM35 hingga RM40 bilion daripada paras RM47 bilion yang dijangka dicapai pada akhir tahun ini, menerusi aktiviti pelupusan aset dan penjualan pelaburan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, langkah pelupusan dan penjualan untuk mengurangkan hutang Khazanah telah terbukti berjaya setakat ini, apabila dana pelaburan negara itu berada di landasan untuk mengurangkan hutangnya kepada RM47 bilion daripada RM55 bilion setahun yang lalu.

"Proses menjual aset adalah satu urus niaga biasa bagi Khazanah dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi kita perlu memastikan aset-aset yang kita akan jual akan dapat menjana wang dan (menyediakan) dana baharu kepada kita untuk melabur semula ke dalam aset lain dan membuat lebih banyak keuntungan.

"Bagi tempoh 10 tahun lalu, Khazanah telah menjual aset bernilai kira-kira RM65 bilion. Ia bukan suatu yang luar biasa, ia hanya memerlukan pertimbangan strategik berdasarkan situasi pasaran, mewujudkan nilai kepada aset kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada Forum Khazanah Megatrend 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Redzuan dalam temu bual baru-baru ini berkata, selain berjaya mengurangkan hutangnya kepada RM47 bilion, dana itu juga berjaya menjanakan hasil RM9 bilion sepanjang tempoh berkenaan.

Dana pelaburan negara itu, katanya, dijangka pulih dan menjana potensi hasil sebanyak RM5 bilion tahun ini.

“Walaupun nilai aset kita masih pada RM130 bilion, hutang kita telah susut sebanyak RM10 bilion, jadi dari segi aset bersih atau lembaran imbangan bersih kita, ia menjadi semakin kukuh.

“Daripada unjuran kami, Khazanah boleh dan sepatutnya mempunyai hutang sekitar RM35 bilion kerana dengan menggunakan kombinasi hutang dan ekuiti daripada kerajaan, kita boleh memaksimumkan pendapatan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 6:38 PM