SHAHRIL Ridza
SHAHRIL Ridza
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mencatatkan keuntungan daripada operasi berjumlah RM2.9 bilion pada 2020, lebih rendah berbanding RM7.4 bilion pada 2019.

Ia juga mengisytiharkan dividen RM2 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk tahun 2020.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, walaupun pendapatan dividen daripada syarikat pelaburannya meningkat kepada RM5.2 bilion berbanding RM3.8 bilion tahun sebelumnya, Khazanah meraih hasil pelupusan lebih rendah pada 2020 iaitu RM2.7 bilion berbanding RM9.9 bilion pada 2019.

"Kesan daripada pandemik Covid-19 turut menyaksikan peruntukan bagi rosot nilai meningkat kepada RM6 bilion, terutama bagi aset penerbangan dan perhotelan, berbanding RM4.9 bilion pada tahun sebelumnya," katanya pada sidang media secara maya mengenai Kajian Tahunan Khazanah 2021, semalam.

Menurutnya, syarikat pelaburan Khazanah seperti Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Themed Attractions Resorts & Hotels (TAR&H) terkesan akibat pandemik itu.

"Khazanah terpaksa memperuntukkan rosot nilai bagi beberapa aset iaitu RM3.1 bilion untuk syarikat induk Malaysia Airlines iaitu Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) dan RM1.8 bilion untuk TAR&H bagi mengurangkan impak akibat pandemik," katanya.

Menurutnya, prestasi pada 2020 dicapai berlatarbelakangkan suasana ekonomi yang mencabar serta impak pandemik Covid-19 yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Namun, katanya, usaha yang Khazanah mulakan beberapa tahun lalu banyak membantu untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi.

"Kami juga mengenal pasti beberapa peluang pelaburan yang baik ketika berada dalam tempoh pandemik ini serta ketidakstabilan pasaran akibat daripadanya.

"Khazanah terus mempelbagaikan portfolio global sambil membina nilai mampan untuk Malaysia selari dengan mandat jangka panjang kami," katanya.

Pada 2020, kedudukan kewangan Khazanah kekal kukuh dengan jumlah hutang dikurangkan enam peratus kepada RM43.1 bilion berbanding RM45.8 bilion pada 2019.

Manakala lindungan nilai aset boleh tunai susut sedikit kepada 2.9 kali ganda berbanding 3.0 kali ganda.

Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) dana komersial berada pada RM95.3 bilion pada akhir 2020.

Sementara itu, Shahril Ridza berkata, Khazanah menyumbang RM20 juta untuk menyokong usaha bantuan menerusi Rangkaian Tindakan Bencana GLC/ GLIC (GDRN) yang menyelaraskan bantuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pembelian bekalan perubatan serta pelbagai bantuan kemanusiaan lain sebagai respons menghadapi pandemik.

GDRN dikendalikan oleh sekretariat bersama yang diterajui Yayasan Hasanah iaitu yayasan milik Khazanah, dan Telekom Malaysia Bhd (TM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:01 AM