Daripada Ismeth Syah Hamdan


Port Louis, Mauritius: Syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X yang memiliki 21 destinasi di Asia melebarkan sayap penerbangannya dengan mengadakan penerbangan sulung ke pulau pelancongan terkenal, Mauritius.

Syarikat penerbangan itu turut mengumumkan tambang istimewa sempena penerbangan pertamanya serendah RM199 sehala bagi tempat duduk biasa dan RM1,599 untuk tempat duduk Premium Flatbed.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail berkata, pihaknya teruja dengan penerbangan pertama itu, sekali gus menambah laluan tambahan pada peta AirAsia X.

“Kehadiran kami dalam pasaran ini memberikan keyakinan untuk mengembangkan penerbangan terus antara Mauritius dan Kuala Lumpur yang dikendalikan secara eksklusif oleh AirAsia X.

“Dengan kerjasama Kumpulan AirAsia, penumpang kini boleh terbang ke Mauritius dari mana-mana destinasi yang ada dalam rangkaian penerbangan kami di Asia, Australia dan Timur Tengah melalui Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai hab kos rendah di Asia,” katanya selepas majlis pelancaran penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Mauritius, di sini, semalam.

Pesawat AirAsia X itu yang membawa rombongan media melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam dengan penerbangan penuh.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia, Issop Patel, Pengerusi AirAsia X Berhad, Tan Sri Rafidah Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun, Ahli Lembaga Pengarah AirAsia X Berhad, Datuk Fam Lee Ee dan Presiden Kawasan Asia Utara bagi AirAsia, Kathleen Tan.

Terletak di pantai tenggara benua Afrika, Mauritius yang dahulunya dikenali sebagai pulau gunung berapi terkenal dengan kecantikan kawasan pantai dengan pasirnya yang putih, iklim sub-tropika dan keindahan pesisiran pantai Lautan Hindi.

Penerbangan itu memberi kelebihan kepada warga Mauritius yang ingin membuat penerbangan ‘Fly-Thru’ menghubungkan bandar utama di Asia dan Australasia melalui Kuala Lumpur sebagai hab transit dengan bagasi yang didaftar masuk terus ke destinasi tanpa memerlukan pemeriksaan imigresen ketika transit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 6:00 AM
RAFIDAH (tengah) bersama Kamarudin (enam dari kanan) meraikan pendaratan sulung AirAsia X di Lapangan Terbang Antarabangsa  Sir Seewoosagur Ramgoolam, Mauritius.
RAFIDAH (tengah) bersama Kamarudin (enam dari kanan) meraikan pendaratan sulung AirAsia X di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, Mauritius.