AHMAD  (tengah) menyaksikan Nazlee  (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian usahasama pembiayaan strategik dengan  Muhammad Guntor. Turut kelihatan,   Dr Mohd Zahidi   (tiga dari kiri), Pengerusi Affin Islamic, Mohd Suffian Haron (kanan) dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (tiga dari kanan).
AHMAD (tengah) menyaksikan Nazlee (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian usahasama pembiayaan strategik dengan Muhammad Guntor. Turut kelihatan, Dr Mohd Zahidi (tiga dari kiri), Pengerusi Affin Islamic, Mohd Suffian Haron (kanan) dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (tiga dari kanan).
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) membiayai projek solar photovoltaic berskala besar 30 megawatt (LSSPV) bernilai RM130.34 juta yang dikendalikan Gading Kencana Development Sdn Bhd.

Projek yang berlangsung selama 16 tahun itu membabitkan tanah seluas 39.66 hektar di Bidor, Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Nazlee Khalifah berkata, ia adalah sebahagian daripada strategi Affin Islamic untuk menumpukan kerjasama produktif bagi mengukuhkan asas dan kemampanan dalam industri perbankan.

“Kami sentiasa menyokong inisiatif kerajaan dalam projek kelestarian tenaga di Malaysia dan sebagai syarikat Bumiputera, Gading Kencana Development layak untuk menerima pembiayaan ini.

“Mereka juga adalah syarikat pengeluar solar paling cekap di dunia dan kami berharap usaha sama ini akan berterusan,” katanya pada sidang media di majlis menandatangani perjanjian usaha sama pembiayaan strategik di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi Affin Bank Berhad Datuk Seri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Pengarah Urusan Gading Kencana Development Datuk Muhammad Guntor Mansor Tobeng.

Muhammad Guntor berkata, 60 peratus daripada jumlah keseluruhan projek itu dibiayai Affin Islamic dan selebihnya adalah daripada ekuiti syarikat.

“Nilai keseluruhan projek ini berjumlah RM214 juta yang bakal menghasilkan 53.65 juta KW/h setahun dan menjimatkan 800,000 tan pelepasan karbon.

“Ia akan mewujudkan 304 peluang pekerjaan bertahap kemahiran tinggi dan projek ini dijangka siap pada 28 Mei 2018, rekod masa pembinaan terpantas iaitu 30MW LSSPV di rantau ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 8:54 AM