PROTON Saga 2019 diperkenalkan sempena majlis perasmian Proton Saga 2019 di MATIC. FOTO: Muhd Zaaba Zakeria
PROTON Saga 2019 diperkenalkan sempena majlis perasmian Proton Saga 2019 di MATIC. FOTO: Muhd Zaaba Zakeria
Lizam Ridzuan


PROTON Holding Berhad (Proton) menerima purata 500 unit tempahan setiap hari melalui model Proton Saga 2019 yang dilancarkan baru-baru ini.

Pengurus Pemasarannya, Cheng Seng Fook berkata, model yang disasarkan kepada golongan berusia 18 hingga 29 tahun itu sesuai untuk pembeli pertama atau keluarga baharu yang mahukan kenderaan pada harga mampu milik.

“Daripada jumlah itu, 60 peratus pembeli memilih varian Premium dan selebihnya memilih Standard. Buat masa ini stok adalah mencukupi dan pembeli tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan Saga terbaharu,” katanya ketika ditemui pada sesi pandu uji media Saga 2019, di Ipoh, semalam.

Proton Saga 2019 dijual pada harga RM32,800 (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT) yang didatangkan dengan lima tahun waranti atau 150,000 kilometer (km) dengan pakej servis untuk kos pekerja percuma sebanyak tiga kali.

Ia tampil dengan kemasan lebih sporty serta ciri dan teknologi keselamatan terbaik dalam kenderaan sedan segmen A di negara ini.

Mengekalkan enjin 1.3 liter VVT, namun ia diberi sentuhan kotak gear empat kelajuan automatik baharu untuk prestasi sporty dan penggunaan bahan api lebih efisien melalui ciri Bantu Pandu Eco.

“Untuk harga di bawah RM40,000, Saga 2019 dilengkapi ciri keselesaan dan praktikal sesuai untuk pemanduan dalam bandar dan lebuh raya melalui ciri pengendalian Proton dipertingkatkan yang kebanyakannya hanya ditawarkan untuk model dari segmen lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:47 PM