LEA (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian bersama  Spencer  pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Sirocco  dan AirAsia BIG. FOTO Khairul Helmy
LEA (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian bersama Spencer pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Sirocco dan AirAsia BIG. FOTO Khairul Helmy
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Sirocco Hospitality Group Sdn Bhd (Sirocco Group), anak syarikat kepada M101 Group mengumumkan kerjasama dengan AirAsia BIG dalam usaha meluaskan lagi perkhidmatannya di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kerjasama itu menjadi salah satu daripada saluran pemasaran pelancongan bagi Sirocco Group berikutan AirAsia BIG bakal memasarkan kumpulan itu melalui platformnya yang mampu untuk mencapai lebih daripada 26 juta ahli BIG.

Semua hotel di bawah pengurusan kumpulan itu berpeluang menikmati kelebihan terbabit dengan pelancong bukan saja boleh mendapatkan penerbangan dan penginapan, malah tarikan serta tawaran runcit melalui kerjasama lain yang dilaksanakan Club Sirocco dan AirAsia BIG.

Ketua Pegawai Eksekutif Sirocco Group, Datin Lea Chan berkata, pihaknya dan AirAsia BIG juga bakal mewujudkan platform bersepadu yang membolehkan ahli bagi program kesetiaannya, Club Sirocco mendapat manfaat daripada pelbagai tawaran dan ganjaran menarik.

“Kerjasama ini adalah tepat pada masanya dalam saat negara sedang bersedia bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 dan pelbagai promosi menarik akan diperkenalkan daripada masa ke masa untuk ahli Club Sirocco dan AirAsia BIG,” katanya pada majlis menandatangani memorandum kerjasama antara kedua-dua pihak di sini.

Setakat ini, Club Sirocco memiliki antara 6,000 hingga 7,000 ahli sejak diperkenalkan lapan bulan lalu manakala, AirAsia BIG kini memiliki 26 juta ahli BIG.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia BIG, Spencer Lee berkata, kerjasama itu akan menjadi langkah terbaik dalam mempromosikan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 6:55 AM