Fernandes (enam dari kiri) dan Kamarudin Meranum (tujuh dari kanan) serta pengarah Kumpulan Tune merasmikan Wisma Tune, semalam.
Fernandes (enam dari kiri) dan Kamarudin Meranum (tujuh dari kanan) serta pengarah Kumpulan Tune merasmikan Wisma Tune, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: AirAsia X Berhad (AirAsia X), syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh akan memperkenalkan laluan baru ke Hawaii, London dan satu lokasi eksklusif di Eropah menjelang akhir tahun ini bertujuan meningkatkan kembali keuntungan syarikat, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Kamarudin Meranun berkata, syarikat itu kini menjalankan kajian terhadap laluan itu supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada pelan pemulihan AirAsia X.

“Kehadiran kami di pasaran Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan kami memenuhi standard keperluan penerbangan di kebanyakan negara, sekali gus meningkatkan profil jenama AirAsia X dalam pasaran penerbangan antarabangsa,” katanya selepas majlis perasmian Wisma Tune di sini, semalam.

Wisma Tune menempatkan lapan rangkaian jenama di bawah kumpulan syarikat iaitu Tune Talk Sdn Bhd (Tune Talk), Tune Hotels Regional Services Sdn Bhd (Tune Hotels), Tune Insurance Malaysia Berhad, Tune Money Sdn Bhd, AirAsia Big, Tune Studios dan Tune Box Avionics Sdn Bhd di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, pihaknya masih dalam fasa memperkemas operasi dan mengurangkan kos di mana mereka berjaya melaksanakan penyusunan semula organisasi dalamannya dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Menurutnya, ketidaktentuan dalam tukaran mata wang asing dan kos bahan api menjadi cabaran kepada AirAsia X kerana 70 peratus daripada perbelanjaannya berasaskan kepada mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

“Sebelum ini, terdapat beberapa ketidakcekapan operasi dan lebihan dalam kerja di organisasi kami dan kami optimis langkah pemulihan Air Asia X dicapai menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Tune Group masih membincangkan kemungkinan untuk tawaran awam permulaan (IPO) Tune Talk Sdn Bhd dan Tune Hotels Regional Services Sdn Bhd dalam jangka waktu yang masih belum diputuskan.

“Saya berpendapat kedua-dua entiti iaitu Tune Hotel dan Tune Talk adalah calon sesuai untuk IPO berdasarkan potensi masing-masing. Sebagai contoh, keuntungan Tune Talk berkembang pantas dan memberi manfaat kepada kami pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 1:33 PM