Sri Ayu Kartika Amri


OSK Property Holdings Berhad (OSK Property) memperkenalkan projek baharu berorientasikan pengangkutan transit (TOD), You City III Cheras dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM488 juta.

You City III adalah fasa ketiga daripada keseluruhan pembangunan You City yang mana fasa pertama membabitkan projek You Residence dan fasa kedua (You Vista).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ong Ghee Bin berkata, You City III adalah projek perdana yang dinantikan kerana mengetengahkan konsep TOD dan kemudahan lain yang memenuhi keperluan gaya hidup masa kini.

Katanya, You City III dibangunkan di atas tanah berkeluasan 2.22 hektar dan berstatus pegangan kekal.

“Pemilihan lokasi bagi pembangunan You City III juga unik kerana akses yang sangat mudah terutama berdekatan dengan MRT Suntex.

“Malah, mereka yang tinggal di You City III ini hanya perlu berjalan lebih kurang 100 meter untuk sampai ke stesen MRT Suntex dan untuk sampai ke pusat bandar raya pula hanya mengambil masa 15 minit,” katanya.

Ong berkata, You City III mempunyai keseluruhan 800 unit apartmen servis yang ditawarkan dengan pelbagai jenis kediaman daripada saiz bermula 678 sehingga 1,776 kaki persegi serta pusat beli-belah You City Retail.

Menurutnya, harga yang ditawarkan bagi projek You City III bermula dari RM350,000 (tertakluk kepada terma dan syarat) sehingga lebih RM1 juta bagi unit penthouse.

You City III bakal dilancarkan pada 12 Mei 2019 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 48 bulan.

“You City III ini adalah kediaman yang pastinya menjadi pilihan golongan muda, pelabur dan mereka yang mencari rumah berdekatan dengan pelbagai kemudahan.

“Harga yang ditawarkan sangat berbaloi dan orang ramai perlu merebut peluang yang ada terutama sempena Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berakhir Jun ini kerana pelbagai rebat serta diskaun menarik akan diberi kepada pembeli,” katanya.

You City III juga berdekatan dengan lima lebuh raya utama iaitu Cheras-Kajang, Shah Alam Expressway, East West Link Expressway, KL-Seremban dan MEX.

Selain itu, You City III turut mempunyai kemudahan podium seluas 0.97 hektar serta berdekatan pusat perubatan, pendidikan dan sembilan pusat beli-belah utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 11:00 AM