Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
BERNAMA

Saiz ekonomi bayangan atau shadow economy di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu RM300 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jumlah RM300 billion itu hasil aktiviti ekonomi tersembunyi atau jenayah terancang yang terlepas daripada pihak berkuasa dan sukar dikesan.

Menurutnya, ketirisan hasil kesan kewujudan ekonomi bayangan itu perlu diurus dan ditangani dengan baik.

“Jumlah ini sekiranya tidak ditangani dengan baik, bukan saja menyebabkan kehilangan pendapatan yang besar kepada negara, bahkan secara tidak langsung mencerminkan ketidakcekapan agensi dan jentera penguatkuasaan kerajaan dalam membendung isu berkaitan aktiviti ekonomi bayangan,” katanya.

Guan Eng berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, dari perspektif cukai, kehilangan pendapatan cukai daripada aktiviti ekonomi dihasilkan sektor tersembunyi itu akan mengancam kestabilan ekosistem percukaian negara khususnya dalam aspek memberi keadilan cukai dan kadar pematuhan cukai sukarela.

Justeru, beliau menyeru LHDN supaya meningkatkan jaringan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan agensi kerajaan lain dalam mempertingkatkan usaha bagi mengenal pasti dan menangani ketirisan hasil kesan daripada ekonomi bayangan itu.

“Saya sedia beri sokongan dan bantuan sekiranya ada masalah dalam mendapatkan kerjasama sepatutnya daripada agensi lain dalam jentera pentadbiran ke arah mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan bersetuju menetapkan sasaran kutipan hasil cukai langsung bagi 2020 sebanyak RM154.676 bilion berbanding RM147 bilion pada 2019.

Katanya, walaupun saiz ekonomi Malaysia terus meningkat setiap tahun, namun kadar peningkatan peratusan kutipan cukai berbanding KDNK tidak menunjukkan korelasi yang sepatutnya.

“Sebagai contoh, berdasarkan perangkaan dikeluarkan Bank Dunia bagi 2017, walaupun saiz ekonomi mencecah RM1.353 trilion, nisbah cukai kepada KDNK Malaysia hanya berada pada paras 13.1 peratus.

“Kesannya, penarafan ini meletakkan Malaysia berada di bawah negara perbandingan lain seperti Vietnam, Chile, Poland dan Korea Selatan yang masing-masing mencatatkan 19 peratus, 17.4 peratus, 16.8 peratus serta 15.4 peratus,” katanya.

Guan Eng berkata, antara faktor menyumbang kepada perkara itu adalah dasar pemberian insentif cukai yang agresif, penurunan kadar cukai setiap tahun, ketirisan hasil ekoran aktiviti pelarian dan pengelakan cukai serta kadar pematuhan cukai yang masih rendah di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 3:44 PM