YONG  (tiga dari kiri) menyerahkan kunci  kepada seorang pembeli pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan MK Land Holding Berhad di  Ipoh.
YONG (tiga dari kiri) menyerahkan kunci kepada seorang pembeli pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan MK Land Holding Berhad di Ipoh.
Farah Suhaidah Othman


IPOH: MK Land Holdings Bhd (MK Land) menyasarkan menyiapkan 4,502 unit hartanah di Klebang Putra dan Meru membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM1 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.

Ketua Pegawai

Eksekutif Kumpulan K Mohanachandran berkata, setakat ini pihaknya membangunkan 3,248 unit dengan GDV RM614 juta di tiga projek pembangunan hartanah iaitu di Meru Perdana 1, Meru Perdana 2 dan Taman Klebang Putra.

Katanya, baki unit hartanah seperti yang dirancang iaitu 1,254 lagi bakal dibina bergantung kepada permintaan pasaran.

“Kita laksanakan pembangunan sedikit demi sedikit mengikut pasaran dan kalau boleh kita mahu habiskan pembinaan secepat mungkin dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

“MK Land mahu projek berkenaan siap sepenuhnya dan habis dijual sebelum memulakan projek baharu di Simpang Pulai pula,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan MK Land Holding Berhad di Rumah Kelab, Taman Klebang Putra, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak Paul Yong Choo Kiong yang merasmikan majlis berkenaan, sekali gus menyerahkan kunci secara simbolik kepada pembeli.

Mohanachandran berkata, jumlah keseluruhan unit rumah dan kedai yang dirancang di Taman Klebang Putra adalah 2,587 unit dengan nilai keseluruhan GDV sebanyak RM452 juta manakala di Meru Perdana adalah sebanyak 1,915 unit dengan GDV RM541 juta.

“Setakat ini, jumlah unit yang sudah dibangunkan dan diserahkan kepada pembeli di Taman Klebang Putra adalah sebanyak 1,677 unit dengan GDV RM215 juta.

“Bagi projek hartanah di Meru Perdana 1 dan 2, jumlah keseluruhan unit yang dibangunkan adalah sebanyak 1,571 unit dengan keseluruhan GDV RM399 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 9:10 PM