Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San menyampaikan taklimat media mengenai pencapaian sasaran jualan hartanah Kumpulan LBS bagi tahun 2021. FOTO Rohanis Shukri
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San menyampaikan taklimat media mengenai pencapaian sasaran jualan hartanah Kumpulan LBS bagi tahun 2021. FOTO Rohanis Shukri
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Kumpulan LBS Bina Berhad (LBS) menjangkakan mencapai sasaran nilai jualan RM1.6 bilion menerusi beberapa pelancaran projek baharu tahun ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya yakin mencapai sasaran itu selepas meraih RM1.58 juta pada penghujung tahun lalu biarpun berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Katanya, LBS akan melancarkan 14 projek baharu sepanjang tahun ini membabitkan 3,733 unit di kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.77 bilion.

"Secara keseluruhan bagi Lembah Klang, yang menyumbang jualan tertinggi tahun lalu, LBS berhasrat melancarkan 2,604 unit hartanah dengan GDV RM1.11 bilion.

"Khusus bagi perbandaran KITA @ Cybersouth, LBS akan melancarkan 2,128 unit hartanah dengan GDV sebanyak RM853 juta dan menyasar untuk membangunkan pangsapuri servis KITA Sejati, rumah teres satu dan dua tingkat di KITA Bestari serta rumah bandar dua tingkat pada tahun 2022.

"LBS turut merancang untuk melancarkan fasa baharu pangsapuri servis Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana yang terdiri daripada 321 unit hartanah dengan GDV sebanyak RM120 juta serta 155 unit Astella di D'Island Residence dengan GDV RM132 juta," katanya ketika taklimat media di ibu pejabat LBS di sini, hari ini.

Lim berkata, projek baharu lain dilancarkan termasuk pangsapuri Bayu Hills di Genting Highlands membabitkan 642 unit dengan GDV RM492 juta, rumah kluster satu tingkat di Taman Kinding Flora dan rumah teres di Chemor, Perak (248 unit dengan GDV RM64 juta), rumah teres satu tingkat Emerald Garden 3, rumah semi-D dua tingkat Royal Garden dan rumah teres dua tingkat di Laman Bayu 4, Bandar Putera Indah, Johor (239 unit dengan GDV RM108 juta).

"Ketika ini, LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.3 bilion.

"Pada 2022, LBS turut menyasar untuk melancarkan empat projek Rumah Selangorku Idaman MBI iaitu Idaman BSP di Bandar Saujana Putra; Idaman Cahaya, Shah Alam; Idaman Sari, Puchong dan Idaman Melur, Cybersouth manakala pembinaan bagi Idaman KITA, Cybersouth dan Idaman Perdana, Bandar Puncak Alam dijadualkan untuk dilancarkan pada 2023," katanya.

Menurutnya, LBS kekal mengadaptasi norma baharu di samping menerapkan pendigitalan dalam perniagaan serta bekerja keras untuk mencapai matlamat mereka.

"Bagi memulakan tahun ini, LBS telah melancarkan kempen 'Bring Happiness Home', yang bakal memberi ganjaran Angpau Tahun Baru Cina sebanyak RM438,888 kepada pembeli rumah dari 1 Januari 2022 hingga 28 Februari 2022.

"Di bawah kempen ini, kami turut menawarkan pakej perabot, yuran tempahan yang rendah, ganjaran kesetiaan, skim pembayaran flexi dan yuran keluar sifar.

"Di samping itu, kami akan mengenepikan yuran guaman dan duti setem ke atas perjanjian pinjaman bagi semua pembeli rumah apabila mereka membeli hartanah kediaman LBS yang terpilih.

"Sebagai Pemaju Rakyat, kami terus komited untuk menyokong inisiatif perumahan kerajaan dan berharap pembeli rumah terdorong untuk memiliki rumah seiring dengan usaha kami," katanya.

Sementara itu, mengulas pencapaian tahun lalu, Lim berkata, LBS mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi 2021 walaupun ia tahun sukar bagi kebanyakan perniagaan.

"Bukan sahaja kami melepasi sasaran jualan hartanah 2021 sebanyak 31 peratus, kami juga berjaya menyerahkan milikan kosong sebanyak 2,570 unit dengan nilai RM1.3 bilion.

"Ia amat bermakna apabila kami berupaya menyediakan rumah mampu milik kepada masyarakat dan melihat wajah-wajah gembira apabila menerima kunci rumah baharu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 4:53 PM