Nabil Basaruddin

Serdang: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berhasrat untuk mempertingkatkan produktiviti bagi sektor pertanian dan agro makanan negara sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada import.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, usaha itu antara hala tuju baru kementeriannya dalam memastikan negara tidak bergantung kepada import dari luar khususnya untuk susu segar, beras dan ruminan.

Beliau berkata, kementeriannya melihat ia adalah sasaran untuk tempoh lima tahun dan berharap ia akan dapat memberi manfaat terhadap keperluan dalam negara.

"Untuk susu segar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyatakan bahawa susu segar kini berada pada kadar pengeluaran 58 peratus dan ia dijangka meningkat kepada 100 peratus dalam tempoh lima tahun lagi.

"Bagi beras pula, sasaran daripada 70 kepada 75 peratus dilihat praktikal manakala bagi ruminan adalah daripada 24 kepada 30 peratus.

"Sasaran itu dilihat cukup bagi memenuhi kapasiti dalam jangka pendek dan sederhana yang dapat membantu industri, secara keseluruhannya" katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian persefahaman antara Agrobank bersama Mydin Mohamed Holdings Bhd dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan Kuala Langat pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Syed Alwi Mohamed Sultan, Pengarah Eksekutif Mydin Datuk Murad Ali Mydin Mohamad dan Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah PPK Kuala Langat Ab Razak Kasbollah.

Sementara itu, Syed Alwi berkata, Agrobank menyediakan pembiayaan berkelompok bagi membantu peserta di bawah Program Pelepasan Pemasaran Bersepadu Agropreneur Muda oleh PPK Kuala Langat.

"Inisiatif ini akan membantu golongan B40 dan M40 dengan menawarkan pembiayaan minimum RM3,000 hingga RM300,000 sebagai modal kerja," katanya.

Selain itu, katanya, kerjasama dengan Mydin akan membantu menyediakan pembiayaan bagi meningkatkan penyertaan usahawan agro dan membantu mengembangkan perniagaan mereka dalam sektor runcit moden.

Pada majlis sama, Agrobank turut melancarkan buku berjudul 'Teroka Potensi Industri Sayur-sayuran Malaysia' yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan perniagaan berasaskan sayuran serta potensi perniagaan segmen berkenaan.

Ia dijual pada harga sebanyak RM65 dan ia bertepatan dalam membantu usahawan muda yang merancang untuk memulakan perniagaan dalam sektor tanaman sayuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 12:49 PM