Syed Salleh sedia peluang pekerjaan kepada belia di ladang sosial dinamakan sebagai CocoJack
Syed Salleh sedia peluang pekerjaan kepada belia di ladang sosial dinamakan sebagai CocoJack
Noorazura Abdul Rahman

Dahulunya anak muda ini tidak pernah berminat dalam bidang pertanian walaupun dibesarkan dalam keluarga petani.

Namun menyedari orang tuanya tidak mempunyai pelapis, pemuda ini akhirnya memilih berjuang dalam bidang itu kerana memahami isu keselamatan makanan tidak boleh dipandang remeh berikutan ia menjadi keperluan hakiki manusia.

Berbekalkan ilmu yang ada, graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini mengambil langkah proaktif mentransformasikan ladang konvensional keluarganya menjadi menjadi sebuah ladang bersepadu komersial yang dikenali sebagai Sulaiman Plantation.

Syed Salleh Syed Sulaiman, 29, berkata selepas tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran pada 2015, dia diminta menguruskan ladang keluarganya selepas tiga adik-beradiknya bekerja sebagai penjawat awam

"Pada mulanya saya memang tidak berminat bekerja di ladang kerana melihat keluarga menguruskan ladang secara konvensional. Namun saya sedar sekiranya saya tidak melakukannya, siapa lagi yang akan menjadi pelapis kepada pengeluaran makanan negara kecuali generasi muda.

"Akhirnya saya gunakan ilmu yang ada meningkatkan penggunaan teknologi pertanian pintar bagi mengurangkan beban tenaga kerja serta meningkatkan hasil pertanian di ladang," katanya yang mengusahakan ladang kelapa pandan dan matag, nangka madu serta sayur-sayuran di tanah seluas lebih lima hektar di Kampung Beka, Merbau Pulas, Kuala Ketil di sini.

Usaha pemuda ini tidak sampai di situ saja, anak bongsu daripada empat beradik ini mempunyai jiwa besar apabila berkongsi ilmunya dengan pemuda lain supaya lebih ramai mencari rezeki dalam bidang pertanian terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

Katanya, dia menyediakan kursus pendek, latihan praktikal dan juga peluang pekerjaan dalam bidang pertanian kepada golongan belia yang dinamakan ladang sosial menerusi perusahaan yang dinamakan CocoJack.

SYED Salleh mengusahakan ladang sayur-sayuran di tanah seluas lebih lima hektar di Kampung
SYED Salleh mengusahakan ladang sayur-sayuran di tanah seluas lebih lima hektar di Kampung

"Berbekalkan pengalaman teknikal dalam tanaman sejak kecil, saya membangunkan kandungan modul berdasarkan tajuk yang diberikan kepada saya.

"Saya membawa kelainan dalam penyampaian modul berkenaan, terdapat beberapa pendekatan mengenai pertanian moden termasuk secara hibrid dibawakan kepada peserta termasuk latihan secara digital," katanya yang pernah menduduki pengajian asasi dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Tekonologi Mara (UiTM).

Syed Salleh berkata, sehingga kini, CocoJack melatih 370 peserta daripada pelbagai program dengan kerjasama organisasi swasta dan agensi kerajaan.

Katanya, dia juga mendapat pembiayaan daripada Agrobank pada 2019 bagi membesarkan projek pertanian sedia ada iaitu sebanyak RM16,000.

"Alhamdulillah, setelah hampir membayar separuh daripada jumlah pembiayaan ini, pada tahun lalu saya berjaya mendapatkan pembiayaan tambahan daripada Agrobank sebagai modal menjalankan projek pertanian sebanyak RM50,000 lagi," jelasnya.

Syed Salleh berharap lebih ramai lagi pengusaha ladang secara konvensional beralih kepada ladang sosial dengan mengadaptasi inovasi sosial yang mampu memberi impak yang lebih besar.

Ini kerana katanya, ladang sosial tidak hanya memberi fokus kepada pembangunan ekonomi sahaja, penggunaan teknologi terkini juga mampu menyelamatkan alam sekitar dan paling penting sekuriti makanan negara terjamin dan maju pada masa hadapan.

"Di Eropah serta Amerika Syarikat ladang sosial baru saja bertapak lima tahun lalu, kita juga mampu setanding dengan mereka sekiranya lebih ramai belia mahu bersama-sama dengan Cocojack memajukan bidang pertanian," katanya.

SYED Salleh memeriksa saliran air baja setiap pokok buah tembikai yang ditanamnya hanya menggunakan telefon pintar untuk
SYED Salleh memeriksa saliran air baja setiap pokok buah tembikai yang ditanamnya hanya menggunakan telefon pintar untuk

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, usaha untuk bersama-sama membangunkan sektor pertanian dan agro makanan negara sentiasa menjadi keutamaan Agrobank.

"Di Agrobank, kami turut menjalinkan kerjasama bersama pemain industri dan usahawan tani demi menggarap minat generasi muda untuk menceburi bidang pertanian sekali gus meningkatkan tahap sosio ekonomi masyarakat setempat.

"Sebagai contoh, kami akan bekerjasama dengan Sulaiman Plantation dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang Serai menerusi Program Hijrah Asnaf Tanaman bagi membantu serta melatih golongan asnaf untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan berasaskan pertanian," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak bahawa teknologi moden antara tarikan bagi menggalakkan lebih ramai generasi muda menceburi bidang pertanian.

Katanya, bagi merealisasikan pembangunan sektor pertanian yang bermutu, teknologi memainkan peranan yang penting dalam mencorak landskap sektor pertanian negara di masa hadapan.

"Justeru, pelbagai bentuk pembiayaan pertanian yang komprehensif dalam menyokong usaha ini turut disediakan oleh Agrobank.

"Pelbagai perkhidmatan sokongan dan tambah nilai seperti khidmat nasihat berkaitan ilmu perniagaan turut disediakan oleh Agrobank demi memastikan kejayaan pelanggan kami dalam sektor ini.

"Saya yakin, menerusi bimbingan yang sewajarnya, usaha ini pastinya akan menarik lebih ramai usahawan muda untuk menjadi pelapis dalam sektor pertanian dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 6:38 AM