Ayisy Yusof

Kuala Lumpur: Kerajaan berkemungkinan akan mengkaji semula beberapa perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri J Jayasiri berkata, perkara itu berkemungkinan berlaku disebabkan peralihan kepemimpinan kerajaan, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan baru akan memutuskan sama ada Malaysia akan terus menjadi sebahagian daripada perkongsian perdagangan itu.

“MITI masih belum ada menteri, tetapi perkara ini akan dikaji semula dan keputusannya akan diputuskan kerajaan baru,” katanya selepas majlis pelancaran SEMICON Southeast Asia 2018 di sini, semalam.

Beliau berkata, rundingan perjanjian perdagangan kini masih berjalan dan optimis kerajaan baru menyokong RCEP dan CPTPP.

“Walaupun kesebelas negara sudah berunding untuk CPTPP, terdapat enam negara masih perlu mengenal pasti perjanjian perdagangan untuk berkuatkuasa,” katanya.

Sebelas anggota CPTPP ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara ASEAN membabitkan Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Jayasiri berkata, prestasi perdagangan Malaysia meningkat untuk dua tahun yang lalu.

“Pada tahun ini kami menjangkakan perdagangan Malaysia meningkat 5.9 peratus dan berdasarkan keputusan suku pertama, kami yakin ia berada di landasan yang betul.

“Prestasi perdagangan negara juga terkesan dengan persekitaran luaran, tetapi ia menunjukkan tanda positif untuk eksport Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 1:41 AM