DARI kanan,  Presiden PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad,  Abdul Wahid,  David, Tengku Abdul Aziz dan Naib Presiden Hartanah dan Pembangunan Harta Hyatt Hotels Corporation, Patrick Finn melihat replika PNB 118.
DARI kanan, Presiden PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Abdul Wahid, David, Tengku Abdul Aziz dan Naib Presiden Hartanah dan Pembangunan Harta Hyatt Hotels Corporation, Patrick Finn melihat replika PNB 118.
Hazwan Faisal Mohamad


Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjangkakan projek menara ikoniknya, PNB 118 dapat siap dibina sehingga 40 peratus menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Kumpulannya Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sehingga kini projek menara setinggi 118 tingkat itu sudah menyiapkan lapan tingkat dengan jangkaan setiap tingkat dapat disiapkan pada setiap minggu.

“Semua kerja sub struktur sudah siap dan kami sudah pun memulakan kerja struktur utama. Menjelang akhir tahun ini, struktur bangunan akan dapat dilihat dengan lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara PNB Merdeka Venture Sdn Bhd dengan Hyatt Hotels Corporation.

PNB Merdeka Venture diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Tengku Datuk Abdul Aziz Tengku Mahmud manakala Hyatt Hotels oleh Presiden Kumpulan ASPAC David Udell.

Menerusi perjanjian itu, Hyatt Hotels akan membawa masuk dan mengendalikan Park Hyatt Hotel Kuala Lumpur di menara berkenaan.

Hotel mewah lima bintang itu akan memulakan operasinya di 17 tingkat teratas menara terbabit pada 2021.

Park Hyatt Kuala Lumpur juga adalah penyewa pertama dalam menara ikonik kepunyaan PNB Merdeka Ventures, anak syarikat milik penuh PNB. Hotel itu bakal menawarkan 232 unit bilik tetamu termasuk 28 suite dan 30 pangsapuri sevis serta ruang persidangan seluas 20,000 kaki persegi.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata, selain Park Hyatt, PNB akan mengisi 42 tingkat menara berkenaan manakala 14 tingkat untuk kemudahan ameniti, empat tingkat untuk dek pemerhatian dan 41 tingkat lagi untuk disewa sebagai pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 3:29 AM