ABDUL Wahid  bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kanan) semasa sidang media pendapatan Amanah Saham 1Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
ABDUL Wahid bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kanan) semasa sidang media pendapatan Amanah Saham 1Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin

Putrajaya: Permodalan Nasional Berhad (PNB) bercadang mempertingkatkan pelaburan luar negaranya lebih kepada pelaburan ekuiti awam dan tidak menolak kemungkinan untuk melupuskan dua hartanahnya di London.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, dua hartanah itu ialah Milton & Shire Houses di 1 Silk Street, London EC2 dan Ninety High Holborn di London WC1.

“Selepas lima tahun, PNB meninjau kemungkinan untuk menjual hartanah itu selaras dengan strategi pelaburan kami untuk mencairkan pelaburan apabila mencapai kematangan dan melabur semula hasil jualan untuk pelaburan lain.

“Malah, ia juga peluang terbaik memandangkan terdapat permintaan berterusan hartanah yang baik di United Kingdom walaupun terdapat kebimbangan berhubung Brexit,” katanya pada sesi taklimat bersama media mengenai prestasi PNB bagi suku ketiga 2017 di sini, baru-baru ini.

Sehingga kini, PNB hanya mempunyai 1.9 peratus pendedahan terhadap pelaburan antarabangsa membabitkan pelaburan awam (43 peratus), hartanah (43 peratus) dan tunai (14 peratus) manakala pelaburan domestik kekal tertinggi pada kadar 98.1 peratus.

Abdul Wahid berkata, kesan daripada Brexit menyaksikan peningkatan ketara transaksi hartanah di negara itu dengan transaksi lebih 8 bilion pound Britain pada separuh pertama 2017 berbanding 13.1 bilion pound Britain bagi keseluruhan 2016 berdasarkan statistik laporan hartanah JLL.

Menurutnya, bersandarkan kepada nilai pasaran semasa hartanah itu, PNB dijangka merealisasikan pulangan ketara lebih 20 peratus kadar pulangan dalaman (IRR) setahun yang diraih daripada peningkatan harga, struktur pembiayaan berkesan dan keuntungan daripada tukaran asing.

“Setiap dana diterima daripada penjualan ini akan dilaburkan semula ke dalam pelaburan lain yang memenuhi kriteria ketat PNB,” katanya.

Laporan berhubung cadangan penjualan dua hartanah itu dikeluarkan dalam artikel bertajuk Fire Sale in London Continues! PNB to Flog Half Billion Pound Properties menerusi media sosial sejak Khamis lalu.

Bagaimanapun, Abdul Wahid berkata, terdapat banyak ketidaktepatan dalam artikel itu seperti tarikh pembelian dua hartanah berkenaan dan pembiayaan pembelian yang dimuktamadkan pada suku pertama 2012, bukan pada 2014 seperti didakwa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:59 AM