ABDUL Wahid berucap selepas Sidang Kemuncak Peralihan Kepimpinan di Malaysia, semalam.
ABDUL Wahid berucap selepas Sidang Kemuncak Peralihan Kepimpinan di Malaysia, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Penyertaan wanita di peringkat pengurusan tertinggi dalam sektor korporat Malaysia dilihat semakin meningkat selari dengan langkah kerajaan menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan terbabit.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, wanita seharusnya diberikan peluang menganggotai jawatan lembaga pengarah di samping jawatan penting lain dalam organisasi.

Beliau berkata, PNB mempunyai komposisi pekerja lelaki dan wanita pada nisbah 45:55 yang begitu hampir kepada angka seimbang di samping syarikat strategiknya Kumpulan Maybank iaitu 60:40.

“Jika dilihat syarikat strategik di bawah PNB, kebanyakannya mematuhi syarat 30 peratus lantikan wanita sebagai pengurusan tertinggi bagi menerajui anak syarikat di bawah PNB.

“Sebagai contoh, kita boleh lihat Datuk Mohaiyani Shamsudin sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Maybank dan baru-baru ini, kita melantik Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM).

“Apa yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah masa depan golongan lelaki kerana mereka sebahagiannya tidak cemerlang daripada sekolah sama ada sekolah berasrama penuh hingga universiti, kedudukan pelajar wanita adalah dua pertiga,” katanya selepas Sidang Kemuncak Peralihan Kepimpinan di Malaysia di sini, semalam.

Pada pembentangan Bajet 2018 yang lalu, kerajaan mengumumkan untuk mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus keahlian wanita dalam lembaga pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Berkaitan Pelaburan Kerajaan (GLIC) serta badan berkanun sebelum akhir 2018.

Abdul Wahid berkata, wanita kini dilihat banyak menempa nama dan cemerlang dalam sektor korporat dan perkhidmatan awam.

“Kebolehan wanita dalam sektor pekerjaan membanggakan kerana tidak timbul sebarang kebimbangan berbanding lelaki,” katanya.

Antara wanita yang berada dalam kemuncak sektor korporat termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Berhad Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd Datuk Rohana Rozhan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aireen Omar serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) Masnizam Hisham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 8:55 AM