Azmi  (kiri) memeriksa produk tenusu keluaran syarikatnya ketika membuat lawatan ke gudang sejuk beku sebelum diedarkan kepada penjual di seluruh negara.
Azmi (kiri) memeriksa produk tenusu keluaran syarikatnya ketika membuat lawatan ke gudang sejuk beku sebelum diedarkan kepada penjual di seluruh negara.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: The Holstein Milk Company Sdn Bhd, pengeluar produk susu segar jenama Farm Fresh dijangka mampu mendapatkan sehingga 27,000 liter susu lembu segar sehari selepas ladang ternakan yang baru dibeli di Melbourne, Australia beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

Pengarah Operasinya, Azmi Zainal berkata, pihaknya membuat keputusan membeli ladang ternakan di Melbourne kerana bekalan susu segar di Malaysia tidak mencukupi.

“Permintaan produk berasaskan susu segera sangat tinggi untuk pasaran tempatan, namun bekalan tidak mencukupi. Maka, kami mengambil keputusan mendapatkan baka lembu yang mampu menghasilkan susu dalam jumlah yang banyak iaitu baka Holstein.

“Bagaimanapun, baka jenis ini tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia dan kami mengambil keputusan untuk membawa masuk susu yang diproses di sana ke pasaran Malaysia menerusi kilang yang akan dibina pertengahan tahun depan,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro.

Menurutnya, ladang berkenaan dibeli pada harga RM40 juta dan kilang yang akan dibina membabitkan kos sekitar RM20 juta manakala ladangnya mampu menempatkan 2,000 lembu dengan anggaran setiap lembu mampu menghasilkan sehingga 10 liter susu sehari.

“Semua susu yang dihasilkan akan diproses di kilang berkenaan sebelum dibawa semula ke Malaysia untuk dijadikan pelbagai produk termasuk susu berperisa dan keju,” katanya.

Azmi berkata, selain kilang di Melbourne, pihaknya juga mengendalikan kilang pemprosesan di Muadzam Shah, Pahang dengan 2,600 lembu sedia ada.

“Daripada jumlah berkenaan, 800 lembu berkeupayaan untuk menghasilkan susu dan anggaran susu yang boleh diproses mencecah 15,000 liter sehari.

“Malah, kami juga akan membuka kilang baru di sini yang akan beroperasi pada bulan depan yang akan memproses hasil tenusu daripada penternak setempat mengikut program Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 4:21 AM