AZMI menunjukkan produk yang dihasilkan.
AZMI menunjukkan produk yang dihasilkan.
SEBAHAGIAN lembu yang sudah ditempatkan di ladang.
SEBAHAGIAN lembu yang sudah ditempatkan di ladang.
PEKERJA memeriksa lembu.
PEKERJA memeriksa lembu.
KAKITANGAN Holstein bersama Azmi di ladang baru di Bio Desaru.
KAKITANGAN Holstein bersama Azmi di ladang baru di Bio Desaru.
Mohamad Hussin

Keju kaya dengan pelbagai nutrien dan sumber penting yang membekalkan karbohidrat, kalsium, fosforus, zink, riboflavin, protein serta lemak.

Selain itu, ia turut mengandungi vitamin A dan B12 serta kaya mineral. Keju juga digemari kerana keunikan tekstur dan rasanya.

Faktor itulah antara yang menyebabkan makanan pejal berasaskan produk tenusu itu digemari meskipun berbau kurang ‘sedap.’

Penggemar keju kini berpeluang mendapatkan produk jenama ‘Desaru Cheese’ yang bakal dikeluarkan dalam pelbagai bentuk komersial seperti blok, dadu, kepingan dan krim.

Malah, ia turut disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bakal menembusi pasaran Asia serta global pada awal tahun depan.

Keju buatan tempatan ini diinovasikan dalam pelbagai perisa seperti asli, cili, herba dan bawang putih.

Ketua Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein) Azmi Zainal berkata, syarikat itu sangat menitikberatkan pengiktirafan halal dan kualiti dalam setiap pengeluaran produknya.

Beliau berkata, ia penting supaya produk tenusu keluaran Holstein terus mendapat kepercayaan ramai tanpa diragui.

“Sebagai penggiat aktif dalam pembangunan industri tenusu negara, kami mengorak langkah ke hadapan dengan mempelbagaikan rangkaian produknya ke produk lain berasaskan keju.

“Holstein adalah pengeluar produk tenusu jenama Farm Fresh bakal memperkenalkan produk baru keju buatan tempatan bagi memenuhi kehendak pelanggan selain terus mengukuhkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Lembah Tenusu Desaru dan Pelancaran Desaru Cheese di Bio Desaru, dekat Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Tinggi Dr Badrul Hisham Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) Asman Shah Abd Rahman.

Azmi berkata, jenama Desaru Cheese diilhamkan sendiri Menteri Besar Johor yang diperkenalkan kepada umum sempena perasmian ladang berkenaan yang dikenali sebagai Lembah Tenusu Desaru.

“Lembah berkenaan yang mempunyai keluasan 121.4 hektar bakal menempatkan kira-kira 600 lembu daripada baka Australian Friesan Shahiwal (AFS).

“Lembu terbabit dibawa masuk dari Australia selepas kajian yang dilakukan mendapati baka ini mampu bertahan dengan cuaca dan makanan di Malaysia.

“Kami turut menjalin kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam aspek penjagaan nutrisi dan pembiakan lembu.

“Ladang berskala besar ketiga milik Holstein ini diwujudkan selepas dua lagi ladang ternakan lembu tenusu kami di Mawai, Kota Tinggi, Johor dan Muadzam Shah, Pahang,” katanya.

Menurutnya, penambahan kira-kira 600 lembu di ladang yang baru dibuka itu menjadikan jumlah keseluruhan populasi lembu di semua ladang mencecah 5,000 ekor.

“Kerjasama dengan J-Biotech di bawah projek Bio-Desaru itu juga dilihat membuahkan hasil dengan jangkaan fokus utama ladang terbaru ini bagi tujuan pembiakan lembu betina.

“Di samping itu, pembinaan infrastruktur agropelancongan yang bakal diketengahkan secara berperingkat bermula pertengahan tahun hadapan.

“Permintaan terhadap produk tenusu terutama susu segar menunjukkan peningkatan menggalakkan berbanding beberapa tahun lalu dan hasrat untuk mengeluarkan produk baru sentiasa ada selaras dengan usaha syarikat untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Katanya, produk keju walaupun ia bukanlah bahan utama dalam masakan masyarakat di negara ini, tapi produk makanan berasaskan keju mendapat sambutan dan semakin digemari semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, dengan jumlah pelaburan berjumlah RM14.7 juta, Holstein akan memberi fokus kepada pembangunan baka AFS dalam meningkatkan kualiti ternakan dan hasil pengeluaran susu lembu tempatan.

Beliau berkata, pusat promosi yang dibangunkan Bio Desaru di kawasan seluas 10 hektar akan mengambil konsep pembangunan di Australia yang merangkumi komponen pusat penapaian (fermentasi), pameran dan butik Cheese Cottage dengan anggaran pelaburan berjumlah RM5 juta yang dijangka siap pada 2019.

“Perancangan strategik, usaha sama penyelidikan, inovasi dan kerjasama antara awam dan swasta merancakkan kemasukan pelaburan dalam industri berasaskan pertanian di Johor dan akan terus ditingkatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 2:19 AM