WAN Rosdy (tengah) bersama Azmi (dua dari kiri) meninjau keadaan lembu tenusu pada lawatan kerja di MSCRIC, Muadazam Shah.
WAN Rosdy (tengah) bersama Azmi (dua dari kiri) meninjau keadaan lembu tenusu pada lawatan kerja di MSCRIC, Muadazam Shah.
Abdul Razak Raaff

Rompin: The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein), syarikat 30 peratus milik Khazanah Nasional Bhd, melabur RM85 juta membeli ladang dan kilang tenusu di Melbourne, Australia.

Langkah terbaru pengeluar jenama nama susu segar tempatan, Farm Fresh itu adalah untuk menampung permintaan pasaran susu segar di negara ini.

Pengarah Operasinya, Azmi Zainal berkata, daripada jumlah itu RM45 juta untuk membeli ladang seluas 607 hektar dengan 2,000 lembu susu baka Holstein termasuk mewujudkan bank sperma bagi pembenihan baka lembu susu.

Beliau berkata, syarikat itu turut melabur RM40 juta bagi kilang pengeluaran susu yang dibeli pada Julai lalu.

Katanya, kilang yang terletak di Victoria, Melbourne itu mampu menghasilkan 27,000 liter susu sehari untuk dihantar semula ke kilang di Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC), Rompin untuk pengeluaran dan pasaran tempatan.

“Kita membuat pelaburan di sana (Australia) untuk meningkatkan pengeluaran susu mentah negara kepada 30 peratus berbanding 17 peratus ketika ini.

“Ia sekali gus membantu syarikat untuk meningkatkan penguasaan pasaran rangkaian produk kepada 43 peratus hingga hujung tahun ini berbanding 39 peratus pada masa ini.

“Malah, kilang pemprosesan susu kita di MSCRIC seluas 12 hektar yang mula beroperasi Julai lalu dengan kos RM26 juta juga membantu syarikat memenuhi permintaan pasaran susu tempatan seterusnya memenuhi sasaran menjadi pengeluar susu segar terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau ditemui memberi taklimat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang melawat pusat penyelidikan dan kilang pemerosesan susu di Muadzam Shah, semalam.

Azmi berkata, kilang di MSCRIC itu menghasilkan 80,000 liter susu sehari dengan 60,000 liter susu UHT (Ultra High Temperature) dan 20,000 liter susu segar sehari.

Selain itu, beliau juga berkata, syarikat itu turut memperkenalkan susu UHT bersaiz 200 mililiter (ml) dalam kotak bermula Julai lalu, untuk sasaran pelajar sekolah.

“Pada masa ini, 15,000 liter susu sehari digunakan bagi menghasilkan susu UHT dalam kotak dan kita akan meningkatkan pengeluarannya sehingga 30,000 liter sehari pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, Azmi juga berkata syarikat itu juga bercadang meneroka pasaran baru di Filipina tahun hadapan selepas berjaya memasuki pasaran susu segar di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 11:00 AM