ANWAR Syahrin ketika  taklimat keputusan separuh kedua UEM Sunrise. FOTO Saifullizan Tamadi
ANWAR Syahrin ketika taklimat keputusan separuh kedua UEM Sunrise. FOTO Saifullizan Tamadi
Nasuha Badrul Huzaini


KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd merancang untuk melancarkan 15 projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion pada 2020.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekuitifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, sebahagian besar pelancaran itu meliputi pembangunan bertingkat dan bertanah, akan dilakukan pada separuh kedua tahun ini.

“Bahagian terakhir daripada RM2 bilion itu adalah untuk projek Solaris Park Fasa B. Ia adalah pembangunan bercampur terdiri daripada kediaman, menara pejabat dan kedai runcit.

“Saya rasa bagi sesiapa yang terlepas Publika (projek) pada kali pertama, mungkin akan berminat pada kali ini,” katanya kepada pemberita pada taklimat keputusan separuh kedua UEM Sunrise di sini, baru-baru ini.

Untuk tahun ini, syarikat menetapkan sasaran membangunkan projek GDV bernilai RM1.2 bilion dan Anwar Syahrin yakin syarikat mampu mencapainya.

Beliau berkata, sehingga separuh pertama berakhir 30 Jun, 2019, UEM Sunrise telah membangunkan projek-projek dengan GDV RM249.3 juta terdiri daripada rumah teres dua tingkat untuk pasaran pertengahan, fasa dua Serene Heights Dahlia, serta fasa satu dan dua Aspika ParkHomes.

Beliau berkata, separuh kedua tahun ini, terdapat projek dengan GDV RM942 juta yang terdiri daripada pembangunan Kepong Plot 5, Serena Heights’ Eugenia dan fasa 10, Aspira Square, Aspira Gardens dan Senadi Hills Fasa 1A.

Anwar Syahrin berkata, UEM Sunrise juga merancang membangunkan projek GDV bernilai RM300 juta di Afrika Selatan melalui satu perkongsian tidak lama lagi.

Dengan penyertaan dalam Kempen Pemilikan Rumah, syarikat itu berjaya menjual unit bernilai RM200 juta.

“Usaha menjana kewangan inventori kami juga berada di landasan dengan mengambil kira bahawa 35 peratus daripada jualan kami bagai tempoh itu adalah daripada hartanah yang telah siap.

“Dari segi pelancaran baharu, sebahagian besar daripada jualan adalah untuk Aspira ParkHomes di Gerbang Nusajaya,” tambahnya.

Mengenai usaha penjualan kepentingan di tapak 412 St Kilda Road, Mayfair di Australia, beliau berkata, langkah itu dijangka dapat diselesaikan sebelum akhir tahun.

“Kami menjadikannya sebagai keutamaan untuk memaklumkan kepada pembeli akan keputusan itu dan menamatkan perjanjian jual beli, manakala pengembalian wang deposit berserta faedah yang sewajarnya,” kata Anwar Syahrin.

Berkenaan khabar angin tentang penjualan Hyatt House Kuala Lumpur, Mont’ Kiara, beliau berkata jika mendapat tawaran yang baik, syarikat bersedia pertimbangkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 6:47 AM