KANAK-KANAK Orang Asli bersama kakitangan UniSZA di dalam perpustakaan.
KANAK-KANAK Orang Asli bersama kakitangan UniSZA di dalam perpustakaan.
Fazurawati Che Lah


BIARPUN terpaksa meredah hutan, kakitangan Perpustakaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) nekad merealisasikan program Dekad Membaca yang direncanakan Kementerian Pendidikan.

Bagi menjayakan program itu, Perpustakaan UniSZA menongkah arus dengan ‘menerjah’ ke perkampungan Orang Asli Aring 5, Gua Musang, Kelantan untuk menubuhkan Perpustakaan Mini bagi menyantuni 100 orang kanak-kanak daripada 350 penduduk di kampung itu.

Pengarah Projek Perpustakaan Mini, Mohd Sabri Muda berkata, program itu dilaksanakan sebagai satu idea untuk mendedahkan Orang Asli dengan pelbagai bahan bacaan serta membantu mereka menanamkan budaya cintakan ilmu.

“Kami sebagai warga Perpustakaan UniSZA terpanggil untuk melaksanakan projek bersama-sama Orang Asli memandangkan golongan ini sukar keluar dari perkampungan mereka kerana jauh dari bandar.

“Kita tidak boleh mengharapkan mereka datang kepada kita dan tidak boleh meminggirkan golongan ini daripada arus pendidikan. Jadi, kami mengambil langkah turun ke perkampungan ini bagi memberikan ‘input’ kepada mereka,” katanya.

Katanya, usaha itu membuahkan hasil yang positif apabila ramai ibu bapa dan kanak-kanak Orang Asli datang ke program yang dilaksanakan.

Selain menempatkan sejumlah 350 bahan bacaan, sebahagian ruang Perpustakaan Mini turut dijadikan sebagai ruangan pembelajaran.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada hari perasmian terbabit seperti sesi motivasi dan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan 60 mahasiswa dari Fakulti Perubatan yang diketuai Prof Madya Dr Mohd Sayuti Razali.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UniSZA, Norulhuda Makhtar berkata, mereka turut menyertai Projek Khaleef Bateq yang bertemakan Sekolah Bimbingan Fardhu Ain dan Galakan Membaca anjuran Persatuan Mahasiswa Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

“Program ini bermula sejak Februari lalu dan digerakkan sekumpulan 87 mahasiswa Antropologi dan Dakwah dari FSSG yang dirasmikan Dekan FSSG, Prof Dr Wan Abd Aziz Wan Mohd Amin.

“Antara program yang dijalankan untuk manfaat komuniti Orang Asli di sini adalah kelas fardu ain dewasa lelaki dan wanita serta kelas pendidikan awal kanak-kanak bagi memantapkan penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira) dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli,” katanya.

Katanya, projek itu sebahagian daripada tanggungjawab kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat selain tanda sokongan kepada program Dekad Membaca.

“Perpustakaan mini ini akan menjadi platform kepada komuniti Orang Asli di sini menyemai minat membaca dan memperoleh ilmu pengetahuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 10:36 AM