PERKHIDMATAN pengurusan kewangan diberikan.
PERKHIDMATAN pengurusan kewangan diberikan.
Fazurawati Che Lah


Bagi melatih penuntut mengaplikasikan ilmu dan kemahiran keusahawanan, Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) menubuhkan inkubator yang dihasilkan pensyarah.

Penubuhan inkubator Count On Me (COME) Consulting itu bertujuan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyelesaikan masalah pengurusan perniagaan mereka berdasarkan kajian awal yang dijalankan.

Projek bawah Unit Keusahawanan PMM itu adalah hasil cetusan idea pensyarah Jabatan Perdagangan, Rusmaini Ramly yang juga Penyelia COME Consulting.

Rusmaini berkata, inkubator itu menepati ciri keusahawanan sosial dengan matlamat memaksimumkan faedah berkenaan terhadap golongan sasar menerusi penawaran khidmat runding perakaunan dan perniagaan berkualiti, boleh dipercayai serta kos efektif.

“Ketika ini, COME Consulting menumpukan perhatian pada dua jenis khidmat runding perniagaan, iaitu Perekodan dan Pelaporan Kewangan serta Pemasaran Digital menggunakan Konsep Keusahawanan Sosial,” katanya.

Pelaksanaan inisiatif itu menyaksikan Model Idea Perniagaan berkonsep keusahawanan sosial dibina, dipertandingkan dan berjaya memenangi tempat kedua pada pertandingan idea perniagaan berunsur inovasi sempena Karnival Keusahawanan Kebangsaan Politeknik Malaysia (K3PM) 2015.

Sejak ditubuhkan dua tahun lalu, COME Consulting sudah melatih 20 perunding muda yang juga penuntut daripada tiga program diploma, iaitu Akauntansi, Pemasaran dan Pengajian Perniagaan.

Sepanjang tempoh sama, inkubator itu berjaya membantu 12 usahawan PKS dan sebuah koperasi dalam pelbagai aspek, termasuk perakaunan, pemasaran dalam talian serta pangkalan data, manakala caj perkhidmatan pula bergantung pada keperluan dan kemampuan golongan sasar terbabit.

Rusmaini berkata, perkhidmatan diberi membantu usahawan mikro dan kecil menyediakan akaun perniagaan tepat pada masanya, menganalisis prestasi jualan dan perniagaan serta menjalankan bisnes dalam talian yang meliputi pemasaran digital.

“Melalui projek ini, kita juga membantu tiga perunding muda yang baru menamatkan pengajian untuk menjadi usahawan dengan menubuhkan perniagaan seperti COME Consulting.

“Mereka berjaya meraih kepercayaan usahawan PKS lain untuk menggunakan perkhidmatan ditawarkan, secara langsung menunjukkan COME Consulting bukan sahaja mampu menjadi platform terbaik melatih bakat siswa tetapi juga mempersiapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran kukuh bagi menceburi bidang perniagaan atau pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 2:58 PM