NORLUKMAL (kiri) ketika menerima Anugerah SME100 2021.
NORLUKMAL (kiri) ketika menerima Anugerah SME100 2021.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Speedoffice Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan profesional rundingan dan latihan untuk usahawan berada di landasan kukuh mengembangkan syarikatnya ke peringkat Asia Tenggara dan Asia menjelang tahun ini.

Pengasasnya, Norlukmal Mat Ghani berkata, sebagai perancangan jangka panjang pihaknya komited untuk menembusi pasaran Indonesia dan Thailand seterusnya ke negara lain di seluruh Asia.

Katanya, antara kepakaran Speedoffice adalah menyediakan pelbagai modul latihan kepada usahawan, pekerja syarikat serta keperluan agensi membabitkan keusahawanan.

"Kami menyediakan jurulatih berpengalaman dalam semua industri bagi keperluan agensi dan perniagaan ke arah pengurusan korporat mahupun francais.

"Pada 2020, Speedoffice mula melebarkan sayap di Lembah Klang bertujuan mengembangkan perkhidmatan dan memperluas program Keusahawanan Sosial yang dimulakan sejak lima tahun lalu ke seluruh Malaysia dan luar negara.

"Kami juga adalah entiti perniagaan yang menggunakan platform jenama Speedofis99 yang turut menyediakan pelbagai perkhidmatan pembelajaran dan pemantauan praktikal melalui strategi jaringan dan kolabrasi," katanya.

Menurutnya, syarikat komited membangunkan ekonomi ummah melalui kelestarian ilmu perniagaan menggunakan rantaian jaringan sosial di peringkat nasional mahupun global.

Beliau berkata, terbaru pihaknya menerima anugerah Kepimpinan Cemerlang dari HQC Global Brand Awards serta SME100 Awards 2021 (Fast Moving Companies).

"Kami komited membantu usahawan tempatan kerana antara perkhidmatan utama yang kami tawarkan melalui Speedofis99 adalah nasihat penubuhan dan kesetiausahaan syarikat cara korporat, nasihat pengurusan pentadbiran dan sumber manusia, penjenamaan MyIPO, pensijilan (ISO, GMP, Halal, Mesti, SME Score, MSPO)," katanya.

"Kami turut menawarkan penyediaan profil perniagaan, video korporat, laman web bisnes, penyediaan perakaunan, percukaian LHDN, penstrukturan semula perniagaan dan pemasaran dalam serta luar talian," katanya.

Usahawan PKS dijemput menyertai komuniti sokongan perniagaan dan mendaftar sebagai AhliUSB di www.omniausb.com.my atau hubungi 013-7172858.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:00 AM