BASTIANINI menjulang trofi GP Malaysia di SIC. FOTO ASYRAF HAMZAH
BASTIANINI menjulang trofi GP Malaysia di SIC. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Sepang: Pelumba pasukan Ducati, Enea Bastianini mengesahkan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) adalah miliknya apabila menjadi individu pertama melepasi garisan tamat, sebentar tadi.

Walaupun bermula di petak ketiga, pelumba Itali itu tidak lagi menoleh ke belakang apabila pantas memintas dua pelumba di hadapan seawal pusingan pertama dan berjaya mengetuai perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Malah, Bastianini berjaya mengekalkan momentum perlumbaan walaupun cuba dicabar pelumba Gresini Racing, Alex Marquez dan rakan sepasukan, Francesco Bagnaia sekali gus meraikan kemenangan pertamanya musim ini.

Bastianini, kekuatan mental menjadi kunci kejayaan dalam usaha memastikan dia menjadi pelumba pertama melepasi garisan penamat.

"Secara jujur, saya rasa sangat letih dan penat ketika ini kerana sudah beri 100 peratus sepanjang perlumbaan berlangsung. Bagaimanapun, mental saya sangat kuat sekarang kerana sudah lama tidak rasakan kemenangan.

"Hanya saya sendiri dan orang terdekat yang tahu apa saya lakukan selama ini untuk sampai ke tahap ini. Bagi saya, keputusan ini adalah sesuatu yang sangat menakjubkan," katanya, sebaik tiba garisan penamat.

Kemenangan Bastianini itu menyaksikan takhta kejuaraan dunia masih lagi terbuka apabila dua pencabar utama, Bagnaia dan Jorge Martin bakal berentap di GP Qatar di Litar Losail minggu depan.

Kedua-dua pelumba terbabit menamatkan perlumbaan di GP Malaysia di kedudukan ketiga dan keempat sekali gus akan membawa perseteruan di Losail.

Sebaik tamat saingan di Malaysia, Bagnaia kini masih mendahului carta kejuaraan dunia dengan mengumpul 412 mata, memiliki kelebihan 14 mata ke atas Martin yang mengekori rapat di kedudukan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 4:32 PM