MARTIN menjulang trofi selepas muncul juara MotoGP Portugal, malam tadi. FOTO AFP
MARTIN menjulang trofi selepas muncul juara MotoGP Portugal, malam tadi. FOTO AFP
AFP

Portimao, Portugal: Jorge Martin meluru ke depan pada pusingan pertama dan tidak menoleh ke belakang sebelum menjuarai MotoGP Portugal, malam tadi, yang juga perlumbaan kedua bagi musim baharu.

Enea Bastianini menduduki tempat kedua manakala pelumba rookie remaja, Pedro Acosta di tangga ketiga.

Martin merampas kedudukan teratas dalam kejuaraan dunia daripada juara dunia, Francesco Bagnaia yang terkeluar daripada persaingan selepas bertembung dengan Marc Marquez pada babak akhir perlumbaan.

Bastianini yang menunggang jentera pengeluar Ducati bermula di petak utama, namun Martin yang bermula di petak ketiga pantas mendahului dengan jentera Pramac Ducati dan mendominasi perlumbaan sehingga penamat.

Martin yang muncul naib juara di belakang Bagnaia pada musim lalu, mengalami kemalangan ngeri di Portimao pada 2021 yang menyaksikannya memerlukan beberapa pembedahan untuk pulih semula.

"Saya tiada masalah pada hari ini dan saya rasa hebat. Menang semula memang fantastik dan saya rasa sangat kompetitif," kata Martin kepada DAZN.

"Saya sangat fokus pada permulaan kerana saya sedar ia akan menjadi kunci penting.

"Saya gembira kerana saya bekerja keras bagi setiap perkara untuk merasakan 100 peratus."

Acosta, 19, bersama pasukan Gasgas-Tech3 hanya menduduki tangga ketujuh ketika kelayakan, tetapi dia mengatasi Brad Binder dari KTM dan kemudian juara MotoGP dunia enam kali, Marquez yang menunggang Fresini Ducati, untuk melonjak ke tangga kelima.

Bagnaia berjaya mengekang asakan Acosta beberapa ketika, tetapi penunggang muda Sepanyol itu memintasnya dan meraih podium sulung selepas Maverick Vinales tersingkir akibat kemalangan.

Memandangkan MotoGP Argentina dibatalkan, perlumbaan berikutnya adalah di Austin, Texas, pada 12 hingga 14 April.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 10:44 AM