VERSTAPPEN (tengah) bersama  Leclerc (kiri)  dan Alonso di Montreal. FOTO AFP
VERSTAPPEN (tengah) bersama Leclerc (kiri) dan Alonso di Montreal. FOTO AFP
AFP

Montreal: Juara dunia dan pendahulu kejuaraan Max Verstappen menguasai litar basah untuk meraih petak utama Grand Prix Kanada awal pagi tadi.

Dalam sesi kelayakan mendebarkan, pelumba Red Bull dari Belanda berusia 24 tahun itu mencatat masa terpantas satu minit 21.299 saat mengatasi juara dunia dua kali, Fernando Alonso daripada Alpine.

Pelumba Ferrari, Carlos Sainz di tempat ketiga manakala jaguh Mercedes, Lewis Hamilton keempat.

Pencabar gelaran Verstappen, Charles Leclerc tidak berlumba di sesi kedua susulan dikenakan penalti selepas terlalu banyak menggunakan komponen kuasa dan akan bermula di grid belakang.

Verstappen memulakan perlumbaan ke-150nya dari petak utama selepas menyambar petak pendahulu ke-15 dalam misi memburu kemenangan ke-26 dalam kariernya.

"Kami kekal tenang, tidak melakukan kesalahan, jadi sudah tentu gembira dengan petak utama selain gembira kembali semula ke Montreal," kata Verstappen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 7:34 AM