VERSTAPPEN (kiri) bersama rakan sepasukan, Sergio Perez pada pelancaran jentera baharu Red Bull. FOTO AFP
VERSTAPPEN (kiri) bersama rakan sepasukan, Sergio Perez pada pelancaran jentera baharu Red Bull. FOTO AFP
AFP

London: Max Verstappen berkata dia tidak mengalami sebarang tekanan selaku juara bertahan Formula Satu (F1) ketika Red Bull melancarkan jentera terbaru untuk musim 2022, hari ini.

Pemandu Belanda itu meraih gelaran dunia pertama dengan penuh dramatik serta kontroversi selepas memintas Lewis Hamilton pada pusingan terakhir di perlumbaan terakhir Grand Prix Abu Dhabi.

Insiden pada 12 Disember itu terus menjadi perbualan dengan kedudukan pengarah perlumbaan FIA, Michael Masi terancam ketika siasatan masih berterusan terhadap keputusan perlumbaan itu yang didakwa Hamilton sudah dimanipulasi.

Verstappen dan Hamilton dijangka bersaing lagi pada musim ini namun beberapa perubahan teknikal dan peraturan baharu akan menambahkan lagi keghairahan terhadap perlumbaan itu.

"Tidak ada sebab mengapa tiba-tiba perlu berasa berbeza.

"Dengan peraturan baharu, anda perlu menyesuaikan diri bersama kereta dan ia adalah perkara yang perlu diberi tumpuan, manakala yang lain adalah biasa sahaja.

"Tidak ada bezanya memulakan musim ini sebagai juara. Secara peribadi saya berasa sangat bagus dan apa yang penting ialah anda dapat mempersiapkan diri sebaik mungkin," katanya.

Prinsipal pasukan, Christian Horner pula mahu Red Bull meneruskan penguasaan mereka.

"Kami mahu memastikan Max dapat mempertahankan kejuaraan namun dengan peraturan baharu, ia pasti lebih sukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 11:41 AM