PETER Bayer. FOTO Agensi
PETER Bayer. FOTO Agensi
Agensi

London: Pegawai kanan FIA, Peter Bayer mengakui pengarah perlumbaan Formula Satu (F1), Michael Masi mungkin akan digantikan.

Kedudukan Masi mencetuskan persoalan sejak perlumbaan kontroversi di Grand Prix Abu Dhabi yang menyaksikan Leiws Hamilton dipotong oleh Max Verstappen pada pusingan terakhir selepas kereta keselamatan diarahkan keluar dari litar susulan kemalangan menimpa pemandu Williams, Nicholas Latifi sebelum itu.

Siasatan mengenai perlumbaan di Abu Dhabi serta analisis mengenai cara menambah baik prosedur FIA, masih diteruskan.

Antara perkara yang dibincangkan adalah untuk mengurangkan beban pengarah perlumbaan dan cadangan melantik lebih seorang pengarah perlumbaan yang akan menggalas tugas secara bergilir dalam tempoh semusim.

"Dia menjalankan tugasnya dengan baik," kata Bayer kepada wartawan ketika ditanya mengenai Masi.

"Tapi ada kemungkinan terdapat pengarah perlumbaan baharu. Saya hanya boleh memberi cadangan kepada Majlis Dunia."

Bayer turut berkongsi mengenai bagaimana Masi menangani segala kritikan dan tidak pernah bercakap dengan media selepas perlumbaan di Abu Dhabi.

"Dia tenang menghadapi segala serangan. Apabila anda bekerja di FIA, anda perlu sedar yang anda bekerja seperti seorang anggota polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 12:54 PM